Viva Poesie karya AGI himpun 94 puisi dwibahasa

Agi

Abdul Ghafar Ibrahim (AGI). Foto media Mohd Khair Ngadiron.

KUALA LUMPUR — Sasterawan dan penyair tersohor negara, Abdul Ghafar Ibrahim mengumumkan penerbitan naskhah terbaharunya berjudul Viva Poesie yang menghimpunkan karya 94 buah puisi dalam dua bahasa hasil terjemahan oleh Jack Malik.

Menurut kenyataan yang dikongsikan Abdul Ghafar di media sosial hari ini, penerbitan buku tersebut direalisasikan dengan kerjasama Smart Forum, sekali gus menandakan satu lagi usaha penting dalam memperluas capaian puisi Melayu kepada khalayak lebih luas melalui medium dwibahasa.

Karya Viva Poesie memuatkan sebanyak 94 puisi yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, membuka ruang apresiasi rentas bahasa dan budaya.

Usaha ini dilihat selari dengan keperluan memperkenalkan kesusasteraan tempatan ke pentas antarabangsa tanpa mengabaikan keindahan bahasa asalnya.

Dalam kenyataan yang sama, Abdul Ghafar yang lebih mesra disapa dengan nama AGI, turut menyuarakan harapan agar buku tersebut dapat dipasarkan dan diperkenalkan kepada khalayak ramai sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun ini.

“Jadi, sebuah sajak itu mestilah dibaca-didengar-dilihat. Barulah kita akan dapat suatu pengertian yang nikmat,” ujar beliau, menekankan pengalaman menyeluruh dalam menikmati puisi yang bukan sekadar teks, tetapi juga bunyi dan visual.

Penerbitan ini dijangka menjadi antara judul menarik dalam PBAKL 2026, khususnya bagi peminat puisi dan pembaca yang ingin mendekati karya AGI dalam bentuk yang lebih inklusif dan merentas bahasa.

Dalam pada itu, penerbit Smart Forum, Mohd Khair Ngadiron memberi bayangan akan ada sebuah program Malam Puisi Apresiasi AGI.

Walau bagaimanapun, program tersebut masih tidak diputuskan lagi tarikhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *