IPA umum senarai pendek Anugerah Inovasi Penerbitan 2026, Pemenang Bakal Diumum di Kuala Lumpur

Ipaaward

KUALA LUMPUR — International Publishers Association (IPA) mengumumkan senarai pendek bagi Anugerah Inovasi Penerbitan 2026, yang menampilkan lima inisiatif berimpak tinggi dalam bidang promosi pembacaan, penemuan buku, pemasaran dan literasi.

Pemenang anugerah berprestij ini akan diumumkan sempena International Publishers Congress (IPC) ke-35 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 5 hingga 9 Julai 2026.

Anugerah ini bertujuan memperkukuh serta menyatukan industri penerbitan global agar terus bergerak ke hadapan dengan memanfaatkan peluang baharu, di samping menyesuaikan diri dengan cabaran dan perubahan semasa.

Ia turut mengiktiraf individu atau organisasi yang memperkenalkan amalan penerbitan inovatif yang boleh dicontohi serta memberi manfaat luas kepada industri.

Lima calon senarai pendek tahun ini ialah:

  • Abbecedario Inclusivo
  • Ailaysa Technologies
  • APA: Australia Reads
  • Shimmr
  • Supadu Smart Buy Buttons

Menurut Presiden IPA, Gvantsa Jobava, jumlah pencalonan yang diterima tahun ini amat memberangsangkan.

“Terdapat begitu banyak pencalonan hebat bagi anugerah ini.

“Inovasi berlaku di pelbagai peringkat dalam dunia penerbitan dan kami berbesar hati dapat meraikan sebahagian daripadanya melalui senarai pendek ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Antara projek yang tersenarai termasuk Abbecedario Inclusivo, sebuah sistem pembelajaran abjad yang inklusif dan mesra pelbagai deria berasaskan prinsip Universal Design for Learning (UDL).

Sementara itu, Ailaysa Technologies tampil dengan penyelesaian kecerdasan buatan berbilang bahasa termasuk platform penemuan buku, Chai Reader.

Inisiatif Australia Reads pula memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kadar pembacaan melalui penyelidikan dan kerjasama pelbagai pihak industri.

Dalam aspek pemasaran, Shimmr memperkenalkan model Advertising as a Service (AaaS) berasaskan kepintaran buatan untuk memasarkan keseluruhan katalog buku secara berterusan.

Melengkapkan senarai ialah Supadu Smart Buy Buttons, yang menawarkan penyelesaian untuk memudahkan proses pembelian buku dalam talian dengan mengurangkan halangan antara minat pembaca dan tindakan membeli.

Selain Anugerah Inovasi Penerbitan, IPA turut akan menyampaikan IPA Champion Award dalam majlis yang sama, sekali gus menjadikan kongres ini sebagai medan penting menghimpunkan pemain industri penerbitan dari seluruh dunia.

Penganjuran kongres di Kuala Lumpur turut dilihat sebagai pengiktirafan terhadap peranan rantau Asia Tenggara dalam landskap penerbitan global yang semakin berkembang.

Sources:IPA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *