Dalam dunia sastera, kerja penterjemahan sering dilihat sebagai jambatan—menghubungkan bahasa, budaya dan pemikiran. Namun bagi Jack Malik, tugas itu jauh lebih kompleks, terutama apabila berhadapan dengan puisi eksperimental karya Abdul Ghafar Ibrahim (AGI).
Menerusi penerbitan Viva Poesie, Jack bukan sekadar memindahkan bahasa, tetapi berdepan persoalan besar tentang bunyi, makna, dan bentuk—tiga elemen yang sering sukar diseimbangkan dalam terjemahan puisi.
Dalam wawancara bersama Titik Baca, beliau berkongsi pengalaman, cabaran dan falsafah di sebalik kerja penterjemahan yang dianggapnya sebagai usaha “membuka pintu” kepada dunia.
Titik Baca: Apa cabaran paling besar yang saudara hadapi ketika menterjemah puisi eksperimental karya Abdul Ghafar Ibrahim, dan bagaimana saudara mengatasinya tanpa menghilangkan roh asal?
Jack Malik: Antara cabaran besar mendepani teks puisi AGI ialah bagaimana untuk menyampaikannya dalam bahasa sasaran tanpa terlalu “mencurangi” bahasa sumber.
Cara saya mengatasi perkara ini adalah dengan mengaplikasikan teori Tri-V AGI sendiri apabila menterjemah puisinya.
Saya menekankan aspek vokal dengan pemilihan ritma dan rima (aliterasi dan asonansi) serta memastikan teks sasaran memiliki “rentak” yang tidak jauh beza dalam teks sumber, manakala aspek visual dan verbal sudah pasti tidak setia seratus peratus.
Titik Baca: Dalam puisi, elemen bunyi dan ritma sangat penting—bagaimana saudara menyeimbangkan antara kesetiaan makna dan keindahan bahasa dalam terjemahan Inggeris?
Jack Malik: Saya memastikan bukan sahaja bunyinya “kena,” bahkan maknanya tidak lari terlalu jauh.
Terjemahan Harry Aveling banyak membantu. Jika peminat dan pengkaji sastera tempatan perasan, terjemahan Aveling sangat liberal.
Demikian, saya memilih untuk mengambil jalan tengah—mengambil kira bahawa ada masa kita tidak boleh terlampau setia dengan teks sumber, pada masa yang sama kita perlu menghormati karya apabila mengalihnya kepada teks sasaran.
Titik Baca: Adakah terdapat puisi dalam Viva Poesie yang “mustahil” untuk diterjemah secara langsung? Jika ya, apa pendekatan kreatif yang saudara ambil?
Jack Malik: Paling sukar ialah “Dalam Diri / Inside (Words) Self).” Saya terpaksa mengorbankan “kesetiaan” visual untuk mengetengahkan vokal dan verbalnya.
Saya percaya pendekatan ini tidak terlalu radikal kerana perbezaan atur letak huruf tidak menjejaskan inti puisi apabila dialihkan kepada teks sasaran.
Walau bagaimanapun, dengan takzimnya saya tidak menolak kebarangkalian ada penterjemah lain di luar sana yang mampu menghasilkan terjemahan yang turut setia kepada visual puisi AGI ini.
Puisi “Kongkalikung / Kongkalikung” juga menghadapi isu yang sama.
Titik Baca: Pada pandangan saudara, sejauh mana penerbitan dwibahasa seperti ini mampu membuka pintu kepada pembaca antarabangsa untuk memahami puisi Melayu?
Jack Malik: Malangnya, saya bukan tukang nujum. Atau dalam nada yang lebih serius, saya bukan pakar analitik.
Trend pembacaan semasa, permintaan pasaran, malah keadaan geopolitik dewasa ini banyak memainkan peranan tentang berapa jauh penerbitan sebegini boleh capai.
Namun, sebarang usaha penterjemahan karya sasterawan mapan kita ialah kerja-kerja penting (sekurang-kurangnya, pada pandangan saya).
Kerja ini bukan semata untuk mengisi kehendak pasaran dan menjadi salah satu daripada mata gerigi kapitalisme.
Sebaliknya, ini soal pendokumentasian. Soal kepedulian. Tolak baik-buruknya dan tinggalkan kritikan di ruang lain yang lebih sesuai—siapakah Harry Aveling untuk Sastera Malaysia pada abad ke-21?
Syukur, kita ada susuk seperti Pauline Fan dan Karim Mohd.
Namun saya percaya kita perlukan lebih ramai lagi penterjemah “kanon” Sastera Malaysia untuk membawa dunia kita ke persada dunia. Pendek cerita, kerja kita ialah “membuka pintu.”
Jika kita tidak membuka pintu, siapa yang boleh masuk?
Titik Baca: Dengan pelancaran di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026, apa harapan saudara terhadap penerimaan Viva Poesie—baik dalam kalangan pembaca tempatan mahupun global?
Jack Malik: Harapan saya ialah pembaca tempatan lebih mengenali susuk eksperimental utama puisi tanah air, AGI.
Dengan beraninya saya nyatakan bahawa AGI tergolong dalam kanon eksperimental sejagat, sebagaimana A.S. memiliki E.E. Cummings; Malaysia memiliki AGI.
Benar, ini pengakuan yang sangat besar. Tetapi ini yang apa saya yakini. Pintu sudah kita bina dan buka.
Semoga Viva Poesie mendapat sambutan meluas pada peringkat serantau dan dunia.













