BANGI — Dalam sebuah sesi perbincangan mendalam mengenai novel Koro karya sasterawan tersohor, Faisal Tehrani mendedahkan bagaimana elemen satira dan realisme magis digunakan untuk mengkritik landskap politik di Asia Tenggara.
Dalam sesi tersebut, Faisal Tehrani atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa menjelaskan bahawa Koro bukan sekadar cereka, tetapi sebuah cerminan terhadap isu-isu autoritarianisme, korupsi dan manipulasi agama yang berlaku di rantau ini.
Novel yang berlatarkan Republik Hujung Manani ini menggunakan wabak penyusutan alat kelamin lelaki sebagai metafora kepada “sumpahan” terhadap pemerintah yang korup.
“Sastera dan politik sebenarnya sangat rapat. Novel selalunya membicarakan persoalan manusia dan kuasa,” ujar Faisal ketika menekankan kepentingan mahasiswa sains politik untuk membaca karya sastera sebagai sebahagian daripada ilmu politik mereka, dalam satu siri perbincangan di Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, hari ini.
Salah satu fakta menarik yang diketengahkan adalah penyisipan sejarah serangan Amerika Syarikat ke atas Kuala Batu, Aceh pada tahun 1831.
Menurut Faisal, sejarah ini penting untuk difahami kerana ia merupakan campur tangan pertama Amerika di luar negaranya, yang dalam novel ini, dikaitkan dengan punca sumpahan wabak tersebut.
Novel ini turut menampilkan watak-watak simbolik seperti Datin Lotis, seorang “harimau jadian” yang menggambarkan kuasa di sebalik tabir, serta watak Taipan yang mewakili kelompok kapitalis yang merosakkan alam sekitar demi keuntungan.
Faisal turut menggunakan medium tradisional gurindam dalam bab-bab tertentu untuk membongkar kebobrokan pelbagai lapisan masyarakat, daripada penguasa hingga ke golongan agamawan.
Walaupun ditulis dalam bahasa Melayu, novel ini hanya boleh didapati dalam versi bahasa Indonesia terbitan Sircah di Yogyakarta atau versi bahasa Inggeris, The Koro Riots, yang diterbitkan oleh Penguin Random House.
Penulisan tabu dan sensitif
Dalam perbincangan yang sama, Faisal mendedahkan keberaniannya dalam menggunakan elemen tabu dan pendekatan satira ekstrem menerusi Koro.
Novel ini mengambil premis yang sangat provokatif, iaitu wabak Koro, sebuah fenomena di mana kaum lelaki di Republik Hujung Manani mengalami penyusutan atau kehilangan alat kelamin secara tiba-tiba.
Penulis mengakui bahawa penggunaan rujukan seksual yang terang-terangan ini adalah sesuatu yang dianggap tabu dalam masyarakat Asia Tenggara yang majoritinya beragama Islam.
Walau bagaimanapun, elemen ini sengaja digunakan sebagai metafora bagi menggambarkan “kebiri” moral dan kegagalan fungsi kepimpinan pemerintah yang korup.
Faisal menjelaskan bahawa beliau menggunakan templat genre satira yang merangkumi unsur keterlaluan (exaggeration) dan rujukan seksual yang tebal (excessive sexual references) sebagai alat kritikan sosial.
Malah, beliau turut menyerapkan pendekatan gory, iaitu paparan perkara yang keji, jijik atau ngeri secara terperinci untuk membangkitkan kesedaran pembaca terhadap situasi politik yang mual.
Pendekatan ini menyamai gaya gurunya, Shahnon Ahmad, dalam novel Shit yang menggunakan metafora najis untuk mengkritik pemerintah.
Melalui Koro, antara isu utama yang disasarkan melalui satira ini termasuklah autotarianisme dan diktator; manipulasi agama, hegemoni media dan kapitalis; dan juga beliau memasukkan unsur realisme magis.













