Dewan Sastera tegas tolak gangguan seksual dalam dunia penulisan

Dstop

KUALA LUMPUR — Sidang editorial Dewan Sastera, majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tampil mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan gangguan seksual yang didedahkan dalam kalangan warga sastera sejak beberapa hari lalu.

Menerusi kenyataan yang disiarkan di media sosial hari ini, sidang editorial majalah itu menegaskan bahawa mereka memandang serius sikap dan perlakuan tidak wajar yang didakwa dilakukan oleh seorang penulis terhadap penulis wanita, khususnya mereka yang baru menceburi dunia penulisan.

“Sebagai pihak yang mengurus bahan karya karyawan di seluruh Malaysia, kami sidang editorial Dewan Sastera mengambil serius tentang sikap dan perlakuan yang dilakukan oleh penulis tertentu terhadap penulis wanita, khususnya yang baru hendak menginjak ke dalam arena penulisan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Dewan Sastera, keadaan tersebut amat membimbangkan apabila terdapat penulis wanita yang memilih untuk berhenti menulis selepas menerima mesej yang disifatkan sebagai tidak senonoh.

“Hal ini sangat mengganggu apabila terdapat penulis wanita yang langsung berhenti menulis kerana telah menerima mesej tidak senonoh (inappropriate) kepada mereka. Hal ini tidak sepatutnya berlaku,” menurut kenyataan itu lagi.

Sidang editorial turut menegaskan bahawa komuniti sastera seharusnya menjadi ruang yang selamat untuk semua pengkarya tanpa mengira latar belakang atau pengalaman.

“Sepatutnya, kita memberikan ruang yang selamat dan sihat kepada semua penulis agar kita membina ruang yang cukup kondusif untuk semua penulis tumbuh dengan subur dan mekar. Semoga kita lebih beradab dan bertatasusila dalam kalangan rakan penulis untuk kelestarian pentas penulisan kita,” katanya.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai reaksi terhadap pendedahan yang dibuat oleh penulis dan penyair Sarah Ross menerusi Facebook pada Jumaat lalu.

Dalam hantaran itu, Sarah mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seksual secara maya oleh seorang individu yang disifatkannya sebagai tokoh sastera yang mempunyai gelaran dalam dunia kesusasteraan.

Beliau berkata gangguan tersebut telah berlaku sejak beberapa tahun lalu dan mendakwa individu terbabit turut mengganggu beberapa penulis wanita lain.

Sarah turut memuat naik tangkap layar yang didakwa menunjukkan mesej-mesej diterimanya melalui Messenger, antaranya berbunyi, “Good morning, selamat pagi. Semoga sihat dan ceria selalu. Take care, baby. mwaachh.”, selain mesej lain seperti “Take care, sweetie.”, “Take care, sweetheart. emmuuaacchhh.” dan “Take good care, honey. emmuuaacchh.”

Beliau mendakwa tidak pernah membalas mesej-mesej tersebut sehingga individu berkenaan berhenti menghubunginya.

Sarah juga menyeru mana-mana mangsa lain supaya tampil mengumpulkan bukti dan menegaskan bahawa gangguan seksual, termasuk yang dilakukan secara maya, merupakan satu jenayah.

Pendedahan Sarah telah mencetuskan perbincangan meluas dalam komuniti sastera, dengan beberapa penulis lain tampil berkongsi pengalaman menerima gangguan yang didakwa mempunyai modus operandi yang hampir sama.

Setakat berita ini ditulis, identiti individu yang didakwa belum didedahkan kepada umum dan tiada sebarang kenyataan balas daripada pihak yang berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *