KUALA LUMPUR — Karya klasik dunia, The Little Prince kini buat pertama kalinya boleh dinikmati dalam bahasa manglish (Malaysian-English) melalui pelancaran buku bertajuk Prince Small One.
Buku ini merupakan hasil terjemahan sarjana sastera, penterjemah, dan pengkritik terkenal Dr. Lalita Sinha.
Pelancaran edisi manglish ini dilakukan sempena sambutan Hari Little Prince Antarabangsa, sekali gus meletakkan manglish dalam senarai lebih 240 bahasa yang telah menterjemah karya agung Antoine de Saint-Exupéry itu.
Bagi Lalita Sinha, projek ini adalah satu pencapaian besar bagi memartabatkan bahasa yang sering kali dipandang rendah sebagai sekadar bahasa tidak formal.
Dalam kenyataannya hari ini, Lalita menegaskan bahawa Manglish mempunyai potensi besar dalam dunia sastera.
“Walaupun benar bahawa manglish tidak formal, adalah benar juga bahawa manglish boleh membawa kedalaman falsafah, nuansa emosi, humor dan nilai sastera,” kata beliau.
Beliau percaya bahawa suara rakyat Malaysia berhak mendapat tempat dan mampu menyumbang kepada sastera dunia.
Projek ini bermula daripada usaha awal Lalita menterjemah koleksi Cerpen karya Uthaya Sankar SB ke dalam Manglish.
Usaha tersebut telah menarik minat penerbit antarabangsa, Edition Tintenfaß dari Jerman, yang tertarik dengan keunikan Manglish sebagai bahasa hidup yang digunakan oleh masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Menurut Lalita, pemilihan The Little Prince adalah sangat tepat kerana bahasa asalnya yang ringkas dan bersahaja, yang mampu “berbicara secara langsung kepada kanak-kanak, tetapi juga membesar bersama mereka apabila mereka dewasa”.
Dengan menggunakan bahasa yang biasa didengar di rumah dan di taman permainan, Prince Small One menawarkan pengalaman membaca yang lebih akrab, hangat, dan semula jadi bagi pembaca tempatan.
Bagi memastikan pemahaman yang jelas untuk semua pembaca, termasuk mereka yang berada di luar negara, buku ini turut dilengkapi dengan glosari perkataan manglish.
Prince Small One kini tersedia untuk tempahan awal secara terus melalui Lalita Sinha dan wakilnya dari Athena Solutions.
Pihak penerbit juga sedang meneroka peluang untuk pengedaran melalui kedai-kedai buku tempatan di seluruh Malaysia.













