KUALA LUMPUR — Sempena acara KL Zine Fest 2026, kolektif Jurnal Sang Pemula (JSP) tampil membawa kelainan dengan meluncurkan lima naskhah zine intelektual yang menghimpunkan pelbagai esei kritikal.
Menurut penggerak JSP, Farahin Wahid, inisiatif ini diambil bertujuan untuk menyediakan bahan bacaan yang lebih mendalam dan merangsang pemikiran kepada orang awam.
Wacana Islamisasi, gender dan sejarah sosial
Antara naskhah yang menjadi tumpuan ialah esei oleh Huda Ramli yang membincangkan diskursus islamisasi dan gender.
Farahin menjelaskan bahawa topik islamisasi sangat penting untuk dibincangkan sekarang kerana kesannya bukan sahaja melibatkan komuniti Muslim, malah memberi impak kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia.
Selain itu, JSP turut memuatkan karya Ahmad Muziru Idham yang memfokuskan kepada sejarah sosial, sastera, dan politik.
Esei-esei Muziru dikenali dengan kelantangannya dalam mengkritik sikap feudal masyarakat masa kini. Manakala, Sakinah Rosli pula membawa perspektif kepentingan penulisan sejarah daripada sudut pandang selain “orang kanan”.
Sakinah, yang merupakan seorang jurutera dengan latar belakang akademik dalam bidang hidrologi dan pengurusan air, menyumbangkan karya baharu dalam koleksi ini.
Rekod tokoh perempuan dan feminisme berilmu
Farahin Wahid sendiri turut menyumbangkan esei yang memfokuskan kepada usaha merekodkan tokoh-tokoh perempuan.
Selain itu, terdapat esei rumusan bacaan hasil kolaborasi antara Farahin dan Sakinah yang dihasilkan sejak tahun 2023 mengenai karya-karya feminisme.
“Tujuan kami adalah untuk mengajak mereka yang cenderung ke arah feminisme untuk belajar tentang asas feminisme itu sendiri, supaya tidak sekadar menjadi angry feminist, tetapi mempunyai sandaran diskursus yang kuat,” ujar Farahin, bersemangat.
Koleksi ini juga menyertakan senarai cadangan bacaan yang dikhaskan untuk “feminis pemula”.
Aspirasi masa depan
Kebanyakan esei yang diterbitkan kali ini merupakan himpunan karya yang pernah disiarkan di laman sesawang mereka sebelum ini, namun kini dikumpulkan dalam bentuk fizikal untuk edisi zine.
Walaupun buat masa ini tiada perancangan jualan segera selepas tamatnya KL Zine Fest, Farahin memberi bayangan bahawa pihak JSP sedang berusaha untuk menerbitkan Sanggah Pemula Jilid 2 pada masa akan datang.
Penerbitan zine-zine ini dilihat sebagai satu langkah berani JSP dalam mengangkat martabat zine sebagai medium penyampaian ilmu dan kritikan sosial yang serius di Malaysia.













