KUALA LUMPUR — Istana Budaya kembali menghidupkan pentas seni negara selepas lebih dua tahun ditutup bagi kerja-kerja pembaikan dan naik taraf, dengan rangkaian program seni persembahan yang dirancang sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Pembukaan semula Istana Budaya diraikan menerusi Majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2026 yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, di Lambang Sari, semalam.
Menurut beliau, Istana Budaya bukan sekadar menjadi pentas persembahan, sebaliknya mempunyai peranan penting sebagai aset strategik dalam pembangunan bakat, pemuliharaan warisan dan pengembangan industri kreatif negara.
“Seni persembahan bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi medium diplomasi budaya yang memperkenalkan identiti negara, mengeratkan hubungan antarabangsa dan mempromosikan Malaysia di persada dunia,” katanya dalam ucapan perasmian.
Bagi tahun ini, Kerajaan melalui MOTAC memperuntukkan RM70 juta untuk pemerkasaan sektor kebudayaan, termasuk RM50 juta bagi Acara Seni dan Budaya serta RM20 juta menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK).
Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.2 juta diperuntukkan khusus kepada Istana Budaya bagi mempergiat aktiviti kesenian negara.
Lima program utama terbitan Istana Budaya bakal dipentaskan tahun ini, merangkumi dua siri Laman Santai Seni Budaya, Nuansa Urban Rohani (NUR 26) Hijrah Malam Cinta Rasul, NSO with Aubrey Suwito: “Pops meets Symphony” dan Teater Muzikal Kanak-Kanak Pengembaraan Sang Kancil.
Pada masa sama, Panggung Sari turut menerima pelbagai produksi luar termasuk Douglas Lim: Vital Stats, Beyond Words: L. Shankar & Samuel J. Dass Live in Concert, Teater Muzikal Mansur & Liu, Teater Bangsawan Diraja Beting Beras Basah II: Hikayat Dewa Mahkota, Festival Filem Malaysia Ke-35 serta RUMI 819: Souls Across Civilizations – A Malaysia-Iran Cultural Celebration.
Pembukaan semula Istana Budaya juga diperkukuh dengan peruntukan RM80 juta bagi kerja-kerja naik taraf fasiliti, termasuk modenisasi teknologi pentas, kemudahan teknikal dan infrastruktur sokongan bagi menampung produksi berskala besar.
“Komitmen ini membuktikan kesungguhan Kerajaan untuk terus memartabatkan Istana Budaya sebagai mercu seni persembahan negara dan hab seni unggul di rantau ini,” tambahnya.
Sementara itu, majlis turut menyaksikan penyerahan arca pavilion Timber Flow: The Folded Crest oleh Malaysian Timber Council (MTC) untuk dipamerkan di Istana Budaya.
Karya yang memenangi Gold Winner – Curated Booth Award sempena ARCHIDEX 2025 itu berkeluasan kira-kira 60 meter persegi dan bernilai sekitar RM135,000.
Diinspirasikan daripada tanjak tradisional Melayu, karya tersebut menggunakan kayu tempatan seperti Kembang Semangkok dan Chengal serta menggabungkan teknik lenturan wap dan sistem pasak kayu tanpa paku.
Menurut Shaharuddin, sumbangan tersebut memperkukuh hubungan antara industri perkayuan, seni bina, reka bentuk dan seni persembahan, selain mengetengahkan potensi kayu-kayan tempatan melalui gabungan warisan, kreativiti kontemporari, inovasi dan kemampanan.
Istana Budaya ditutup sejak Januari 2024 hingga Mei 2026 bagi membolehkan kerja pembaikan dan naik taraf bumbung dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Dengan pembukaan semula Panggung Sari dan Lambang Sari, Istana Budaya kini kembali memainkan peranan sebagai salah satu pentas utama negara dalam memperkasa seni persembahan, mengembangkan industri kreatif dan memperkenalkan kekayaan budaya Malaysia kepada khalayak tempatan serta antarabangsa sempena VM2026.













