PUTRAJAYA — PTS Media Group menerbitkan semula karya agung Buya Hamka, Tafsir al-Azhar, dalam edisi kemas kini yang melalui proses penelitian, penyuntingan dan semakan menyeluruh bagi memastikan kandungannya lebih sesuai dengan keperluan pembaca masa kini.
Projek penerbitan semula ini mengambil masa selama empat tahun, bermula dengan proses semakan pada 2023 sebelum edisi baharu mula diterbitkan pada 2026.
Edisi lengkap Tafsir al-Azhar ini akan diterbitkan secara berperingkat dalam 30 buah buku yang mewakili 30 juzuk Al-Quran.
Lima juzuk terawal, iaitu Juzuk 1, 15, 21, 29 dan 30, telah diperkenalkan sempena sesi “Menelusuri Pemikiran Hamka: Pelancaran Tafsir Al-Azhar Edisi Kemas Kini” di Lecture Hall, Masjid Putra, Putrajaya pada Sabtu, bersempena Festival Buku Islami 2026.
Menurut Editor Buku Umum PTS Media Group merangkap editor projek, Nurul Anisah Saian, proses mengusahakan semula karya tersebut bukan sekadar melibatkan penyuntingan bahasa, sebaliknya merangkumi beberapa peringkat semakan dengan kepakaran dalam bidang Al-Quran, hadis dan terjemahan.
“Proses kemas kini ini mengambil masa empat tahun, bermula daripada semakan awal pada 2023 sehingga diterbitkan pada 2026. Selain tempoh masa, kos juga menjadi antara cabaran utama kerana setiap proses semakan melibatkan kos pengeluaran yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Melalui pelbagai peringkat semakan
Bagi memastikan ketepatan kandungan, Tafsir al-Azhar edisi kemas kini ini melalui beberapa peringkat penelitian.
Antaranya termasuk semakan keseluruhan kandungan oleh Yusof Arbain daripada Akademi Tadabbur Malaysia; semakan takhrij hadis bersama pasukan penyemak hadis; serta semakan kandungan terjemahan oleh 11 orang Ahli Jawatankuasa Penyemak dan Penilai Terjemahan al-Quran JAKIM.
Teks Al-Quran turut disemak bersama Pakar Perunding Teks al-Quran dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Pada peringkat akhir, pruf buku melalui semakan oleh Ahli Jawatankuasa Penyemak dan Penilaian Teks al-Quran serta Ahli Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Proses ini turut melibatkan semakan ketepatan rasm dan bacaan al-Quran, takhrij hadis serta penyesuaian bahasa dan istilah agar lebih dekat dengan pembaca kontemporari.
Antara penambahbaikan penting dalam edisi ini ialah penggunaan teks al-Quran Rasm ‘Uthmani, penyertaan rujukan sumber bagi hadis melalui sistem takhrij serta penyelarasan bahasa Melayu dan ejaan rumi semasa.
Bagi memudahkan pembacaan dan penghayatan, karya ini juga disusun mengikut pecahan 30 juzuk, menjadikan setiap naskhah lebih ringan dan mudah dibawa serta membolehkan pembaca memberikan tumpuan kepada juzuk tertentu.
Setiap naskhah turut disertakan pelekat hologram KDN sebagai tanda perakuan dan kelulusan berkaitan penerbitan teks al-Quran.
Menjaga suara dan pemikiran Hamka
Walaupun melalui pelbagai proses kemas kini, antara perkara paling penting bagi pasukan editor ialah memastikan pemikiran dan gaya bahasa asal Hamka terus terpelihara.
Nurul Anisah menjelaskan pasukan editor mengamalkan prinsip rujukan silang dengan merujuk manuskrip asal Tafsir al-Azhar ketika membuat pembetulan atau penambahbaikan.
“Sekiranya ada perkataan yang perlu ditambah baik, kami akan mengikuti cadangan panel penyemak. Jika sesuatu perkataan atau ungkapan perlu dikekalkan, kami akan mengekalkannya atau menambah nota kaki supaya tidak lari daripada mesej yang ingin disampaikan oleh HAMKA,” jelasnya.
Menurut beliau, ketepatan teks al-Quran, hadis dan petikan ayat yang terdapat dalam tafsir merupakan antara aspek yang paling memerlukan penelitian kerana setiap baris perlu disemak dengan teliti.
Pada masa yang sama, pasukan editor turut berusaha mengekalkan gaya bahasa Hamka yang menjadi salah satu keistimewaan karya tersebut.
Beberapa istilah atau perkataan yang mungkin janggal kepada pembaca moden disesuaikan tanpa mengubah maksud asal yang ingin disampaikan.
Menghubungkan khazanah turath dengan pembaca masa kini
Tafsir al-Azhar mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menghubungkan tafsir muktabar berbahasa Arab dengan realiti masyarakat Nusantara, di samping disampaikan melalui gaya penulisan Hamka yang kaya dengan unsur kesusasteraan seperti syair, gurindam dan pantun.
Menurut Nurul Anisah, penerbitan semula edisi kemas kini ini diharapkan dapat membantu meluaskan penyebaran kefahaman terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat hari ini.
“Sejujurnya, Tafsir al-Azhar antara tafsir yang mudah difahami dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Kami berharap edisi baharu yang mesra pembaca ini menjadi jambatan untuk masyarakat hari ini menghayati Al-Quran dengan lebih segar dan dekat di hati,” tambahnya.
Penerbitan semula ini menjadi satu lagi usaha PTS untuk memastikan karya penting yang membentuk khazanah keilmuan Islam terus dapat dicapai oleh generasi pembaca semasa, tanpa menghilangkan nilai dan pemikiran yang terkandung dalam karya asal Hamka.
Lima juzuk pertama Tafsir al-Azhar edisi kemas kini, iaitu Juzuk 1, 15, 21, 29 dan 30, kini diperkenalkan kepada pembaca, manakala juzuk-juzuk seterusnya akan diterbitkan secara berperingkat sehingga melengkapkan keseluruhan 30 juzuk.













