Penggambaran beberapa buah filem termasuk francais Spider-Man di sebuah bangunan tersenarai Gred II menjana kira-kira RM1.6 juta (£312,000) kepada Majlis Daerah Hertfordshire tahun lalu.
Filem Spider-Man: Brand New Day dipercayai membayar sebanyak £89,950 (kira-kira RM482,518) untuk menggunakan Hertford County Hall sebagai lokasi penggambaran antara Jun hingga November.
Pelakon Tom Holland dan Zendaya kembali membintangi filem keempat dalam siri semasa itu, yang dijadualkan ditayangkan pada bulan Julai.
Turut serta ialah pelakon Stranger Things, Sadie Sink, serta pelakon Hulk, Mark Ruffalo.
Selain itu, beberapa produksi lain yang menampilkan bintang seperti Joan Collins, Catherine Zeta-Jones dan Gillian Anderson turut menjalani penggambaran di lokasi berkenaan sepanjang tahun 2025.
Antara filem lain yang menggunakan lokasi tersebut ialah The Bitter End, sebuah drama biografi mengenai Wallis Simpson, wanita yang berkahwin dengan Edward VIII selepas baginda turun takhta.
Filem lakonan Joan Collins itu menggunakan County Hall dengan kos £30,450 (RM163,342) pada bulan Mei dan Jun, walaupun prosiding perceraian sebenar berlaku di County Hall, Ipswich.
Sebuah lagi filem, The Julia Set, yang masih belum ditayangkan dan dibintangi Gillian Anderson serta Jason Isaacs, turut menjalani penggambaran di Hertford County Hall pada Oktober dan November dengan kos £45,500 (RM244,075).
Produksi televisyen juga menggunakan lokasi tersebut pada tahun 2025, termasuk musim kedua drama ITV, Red Eye, yang disiarkan pada Januari.
Pendapatan penggambaran bagi tahun 2025 menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya, iaitu £54,000 (RM289,672) pada 2023 dan £170,000 (RM911,930) pada 2024.
Kakitangan majlis telah berpindah ke pejabat baharu pada tahun 2023, dan pihak berkuasa turut meluluskan rancangan untuk menjual County Hall pada tahun lalu.
Menurut jurucakap majlis, hasil daripada aktiviti penggambaran membantu menampung sebahagian kos penyelenggaraan bangunan tersebut, yang dianggarkan sekitar £2.4 juta (RM12.87 juta) setahun.
“Kami mengalu-alukan permohonan penggambaran dan berbesar hati kerana nilai sejarah serta seni bina County Hall terus menarik minat produksi, sekali gus menyokong perkembangan industri perfileman di Hertfordshire,” tambahnya.












