Mana Sikana dinobatkan Sasterawan Negara ke-16

Snmanasikana

KUALA LUMPUR — Tokoh sastera tersohor, Mana Sikana atau nama sebenarnya Abdul Rahman Napiah, diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) Ke-16, sekali gus dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara.

Pengumuman tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Menurut beliau, Anugerah Sastera Negara merupakan pengiktirafan tertinggi negara yang dikurniakan oleh Kerajaan Malaysia kepada tokoh sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu serta telah memberikan sumbangan cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

“Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf karya kreatif, malah turut menilai kekuatan pemikiran, nilai yang diperjuangkan serta sumbangan tokoh dalam membina tradisi ilmu dan budaya bangsa melalui kegiatan kesusasteraan yang bermutu tinggi,” katanya.

Tambah beliau, panel penilai telah sebulat suara memutuskan pemilihan Mana Sikana berdasarkan ketokohan beliau sebagai sasterawan yang prolifik dan konsisten dalam menghasilkan karya kreatif berkualiti tinggi sepanjang kerjayanya.

Sumbangan Mana Sikana merangkumi pelbagai genre termasuk cerpen, novel dan drama yang sarat dengan pemikiran kritis, nilai kemanusiaan serta kepekaan terhadap realiti sosial.

Karya-karya beliau turut dikenali kerana pendekatan berani dan inovatif, sekali gus memperkayakan bentuk serta estetika penceritaan dalam kesusasteraan Melayu moden.

Perjalanan awal beliau sebagai penulis bermula sejak usia muda apabila cerpen “Kawan yang Berbudi dan Berduri” tersiar dalam akhbar Berita Harian pada tahun 1964 dan memenangi hadiah dalam siri cerpen pilihan terbaik akhbar tersebut.

Kejayaan itu turut diraikan oleh Sekolah Menengah Izzuddin Shah, Ipoh, yang mengumumkan cuti sehari kepada para pelajar kerana bangga dengan pencapaian beliau ketika itu.

Sejak itu, Mana Sikana terus aktif menghasilkan karya termasuk kumpulan cerpen seperti Cinta Junjungan, serta novel seperti Runjang, Klimaks, Kesesatan dan Shajar yang memperlihatkan penggunaan teknik intertekstual, metafiksyen dan metasejarah.

Pendekatan ini dilihat membawa perubahan signifikan terhadap struktur dan teknik penulisan novel di Malaysia.

Dalam bidang drama pula, beliau menghasilkan pelbagai skrip untuk pentas, radio dan televisyen.

Antara karya penting termasuk Tanah di Hujung Bendang yang beraliran realisme, Di Hujung Taming Sari yang berunsur metasejarah, serta Pengadilan yang berkonsepkan komedi absurd.

Mana Sikana juga dikenali sebagai antara pelopor pendekatan avant-garde dan absurd dalam teater Melayu moden.

Selain karya kreatif, beliau turut memberi sumbangan besar dalam bidang esei dan kritikan sastera menerusi penulisan buku ilmiah serta ratusan esei yang membantu membentuk wacana kesusasteraan Melayu yang lebih matang dan berteraskan pemikiran.

Lebih signifikan, beliau turut memperkenalkan teori sasteranya sendiri seperti Teori Teksdealisme dan Teori Taabudiyyah yang kini menjadi rujukan penting dalam kalangan mahasiswa, sarjana dan pengkaji sastera.

Keupayaan menggabungkan kekuatan kreatif dengan keilmuan teori menjadikan beliau seorang sarjana kreatif yang berpengaruh dalam dunia kesusasteraan tanah air.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan menjelaskan bahawa proses pemilihan penerima ASN dilaksanakan secara teliti, menyeluruh dan berintegriti oleh panel penilai yang dilantik oleh Jemaah Menteri Malaysia.

Keputusan bagi ASN Ke-16 telah dimuktamadkan pada 14 April 2025.

Bagaimanapun, Allahyarham Mana Sikana telah kembali ke rahmatullah pada 26 Mei 2025, selepas keputusan tersebut dibuat.

Sehubungan itu, kerajaan telah meluluskan pindaan terhadap tatacara kerja ASN pada 30 Januari 2026 bagi membolehkan calon yang meninggal dunia dalam tempoh penilaian atau pemilihan masih layak dipertimbangkan.

“Ketetapan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pengiktirafan tertinggi negara ini diberikan berasaskan jasa, sumbangan pemikiran dan ketokohan sastera tanpa terhalang oleh kekangan teknikal berkaitan status hayat,” jelas beliau.

Sebagai penerima ASN Ke-16, kerajaan akan memberikan penghargaan kepada waris Allahyarham, termasuk Warkah Penghormatan Negara, wang tunai sebanyak RM60,000 serta kemudahan penerbitan karya sehingga 50,000 naskhah atau bernilai maksimum RM500,000 untuk diedarkan ke sekolah, perpustakaan dan agensi kerajaan.

Langkah tersebut bertujuan memastikan karya tokoh terus dibaca, dihargai dan dimanfaatkan oleh masyarakat secara meluas sebagai khazanah ilmu dan budaya bangsa.

Majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-16 akan disempurnakan oleh Ke Bawah Duli Maha Mulia yang di-Pertuan Agong pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak oleh Istana Negara.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *