Saat seorang ibu hampir rebah

Ifihadlegs

Teringat saya pada petikan James Joyce dalam novel A Portrait of the Artist as a Young Man (1915), “Apa pun tidak pasti di dunia yang busuk ini, kecuali cinta seorang ibu.”

Petikan novel ini walaupun ditulis lebih seabad lalu, masih terasa dekat dengan kita semua. Terasa seperti ayat itu ditulis untuk kita hari ini.

Sempena Hari Ibu yang disambut pada setiap bulan Mei, saya teringat akan sebuah filem yang mungkin pada pandangan pertama tidak ada kaitan langsung dengan kasih sayang seorang ibu secara zahir melalui judulnya.

If I Had Legs I’d Kick You (2025), filem arahan Mary Bronstein, dengan barisan pelakon seperti Rose Byrne dan Conan O’Brien.

Filem ini bukanlah sebuah coretan sentimental yang klise, sebaliknya naskhah ini tampil dengan nada yang jujur, sedikit kasar dan tidak segan menunjukkan sisi manusia yang rapuh. Namun di situlah letaknya kekuatannya.

If I Had Legs I’d Kick You merupakan sebuah drama psikologi gelap yang cenderung ke arah filem arthouse, memfokuskan kepada seorang ahli terapi, Linda (Rose Byrne) yang bergelut dengan keletihan melampau (burnout) sambil menjaga anaknya yang sakit.

Filem ini bukan sekadar memaparkan jalan cerita biasa, sebaliknya sebuah kajian watak warts-and-all yang membawa makna tidak hidup dalam kepura-puraan atau mencantikkan realiti.

Filem ini membiarkan segala kecacatan emosi, tekanan dan rasa bersalah itu terdedah seadanya.

Dengan campuran komedi gelap, elemen surealisme dan sedikit seram, ia mengajak penonton masuk ke dalam fikiran wataknya yang semakin lama semakin terganggu dan tidak stabil.

Tekanan sebagai seorang ibu dan sebagai individu yang perlu terus berfungsi dalam dunia yang tidak memberi ruang untuk berehat, watak Linda digambarkan dengan begitu intens dan kadang-kadang tidak selesa untuk ditonton.

Di sinilah pentingnya untuk memahami bahawa filem ini tergolong dalam kategori arthouse.

Secara ringkas, filem arthouse merupakan filem yang lebih menekankan ekspresi seni, emosi dan visi pengarah berbanding hiburan arus perdana.

Gaya filem ini sering tampil dengan gaya penceritaan yang tidak konvensional, tempo yang lebih perlahan dan tema yang lebih kompleks atau mencabar.

Filem sebegini tidak semestinya “mudah ditonton”, tetapi memberikan pengalaman yang lebih mendalam dan reflektif.

Ada beberapa sebab yang memungkinkan filem ini boleh dijadikan sebagai pendekatan tentang kasih sayang seorang ibu—yang kadangkala tidak hadir dalam bentuk yang kita jangkakan.

Pada tahun 2025, tular satu berita yang sukar untuk diterima akal. Seorang wanita di Thailand didakwa melahirkan bayi di tepi jalan di Bangkok.

Demi menyertai rakan-rakannya meraikan festival Songkran, dia meninggalkan bayi tersebut sehingga meninggal dunia.

Rakaman video yang tersebar memperlihatkan detik-detik wanita itu dalam kesakitan, bersendirian, tanpa bantuan seolah-olah dunia di sekelilingnya terus berjalan tanpa menyedari apa yang sedang berlaku.

Peristiwa ini, pada pandangan luaran mudah untuk dihukum. Sukar untuk tidak berasa marah, jijik atau kecewa.

Namun, jika dilihat melalui lensa yang sama seperti filem If I Had Legs I’d Kick You, kita mungkin terdorong untuk bertanya soalan yang lebih sukar—apakah yang sedang berlaku dalam diri wanita itu?

Seperti Linda, wanita itu mungkin juga berada dalam keadaan mental yang tidak stabil, keletihan melampau atau tekanan yang tidak terlihat oleh orang lain.

Perkara ini bukan untuk membenarkan tindakannya, sebaliknya untuk memahami bahawa realiti seorang ibu tidak selalu hadir dalam bentuk yang ideal atau penuh kasih sayang seperti yang sering digambarkan.

Kadangkala, seperti yang ditunjukkan dalam filem tersebut, kasih itu wujud dalam keadaan yang retak, bercelaru malah menyakitkan untuk disaksikan.

Dan dalam sesetengah keadaan yang lebih tragis, mungkin perasaan itu tenggelam sepenuhnya di bawah beban yang terlalu berat untuk ditanggung sendirian.

Di sinilah filem ini menjadi lebih daripada sekadar karya seni. Di mana menjadi cermin yang memaksa kita melihat sisi keibuan yang jarang dibicarakan.

Bahawa di sebalik idea “cinta seorang ibu” yang sering dianggap mutlak, wujud juga realiti yang jauh lebih kompleks dan kadangkala, jauh lebih gelap.

Tidaklah bermakna saya ingin menghalalkan perbuatan nan berdosa. Tidak sama sekali.

Namun, di sinilah saya teringat akan satu prinsip yang sering ditekankan dalam falsafah jurisprudens yang saya pelajari sepanjang pengajian undang-undang—bahawa memahami bukan bererti membenarkan.

Dalam tradisi undang-undang, setiap tertuduh, walau seburuk mana pun pertuduhan terhadapnya, tetap berhak untuk didengar.

Seperti yang sering dikaitkan dengan prinsip keadilan sejagat, “Let justice be done though the heavens fall.

Keadilan tidak boleh dipandu semata-mata oleh emosi, tetapi perlu berdiri atas asas pertimbangan yang rasional dan menyeluruh.

Tokoh seperti H.L.A. Hart menegaskan bahawa undang-undang bukan sekadar alat menghukum, hakikatnya satu sistem yang juga harus mengambil kira konteks, niat dan keadaan individu.

Manakala Lon L. Fuller pula melihat undang-undang sebagai satu moraliti dalaman—suatu elemen yang menuntut keadilan itu dilaksanakan dengan integriti, bukan sekadar prosedur kosong.

Dalam konteks ini, tindakan wanita tersebut tetap salah di sisi undang-undang dan moral.

Namun, sebagai masyarakat, kita juga harus berani bertanya, apakah faktor-faktor yang mendorong kepada perlakuan sedemikian? Adakah wujud kegagalan sistem sokongan? Adakah tekanan mental yang tidak dirawat? Atau adakah ini cerminan kepada jurang empati dalam masyarakat kita sendiri?

Prinsip bahawa setiap tertuduh layak menerima pembelaan bukan bertujuan untuk melepaskan mereka daripada tanggungjawab, tetapi untuk memastikan bahawa keadilan itu benar-benar adil, bukan sekadar hukuman yang memuaskan kemarahan kolektif.

Seperti yang pernah diungkapkan William Blackstone, “It is better that ten guilty persons escape than that one innocent suffer.”

Petikan itu mungkin tidak secara langsung membela perbuatan yang jelas salah, tetapi ia mengingatkan kita bahawa dalam usaha menegakkan keadilan, kita tidak boleh mengabaikan prinsip kemanusiaan.

Dan mungkin, di sinilah benang halus antara filem ini dan realiti bertemu. Kedua-duanya mengajak kita untuk melihat lebih dalam daripada apa yang terlihat di permukaan.

Bahawa di sebalik sesuatu tindakan yang tampak kejam atau tidak berperikemanusiaan, sering tersembunyi sebuah cerita yang jauh lebih rumit.

Dan di sinilah watak Linda berdiri sebagai refleksi yang paling mengganggu. Sebagai seorang ahli terapi, dia menjadi tempat orang lain meluahkan beban, merungkai kekusutan emosi serta mencari makna dalam penderitaan.

Itulah kerja hakikinya. Di mana dia perlu mendengar, memahami dan membantu orang lain untuk terus bertahan.

Namun persoalannya, yang jarang sekali kita tanyakan adalah apabila yang mendengar itu sendiri sedang tenggelam, bahu siapa pula yang boleh dia sandarkan?

Linda tidak pernah benar-benar diberikan ruang itu. Dia terus berfungsi seperti biasa, terus mendengar masalah orang lain, terus memegang peranan sebagai “penyembuh”; sedangkan di dalam dirinya ada luka-luka yang tidak pernah sembuh sepenuhnya.

Dan mungkin di situlah lakonan ini terasa begitu dekat. Kerana kita mampu melihat ironi dalam diri Linda sendiri, sebagai seorang ahli terapi yang saban hari mendengar dan membantu menyelesaikan masalah orang lain.

Sedangkan dia sebenarnya bergelut dengan masalahnya sendiri yang tidak pernah benar-benar selesai.

Sebagai seorang ibu, Linda tidak digambarkan sebagai figura ideal, tetapi sebagai individu yang sedang bertarung dengan emosi dan keadaan sekelilingnya.

Namun, filem ini tidak berhenti pada pergelutan dalaman semata-mata. Plot filem ini membawa watak Linda ke satu titik yang lebih ekstrem dan meresahkan.

Dalam satu detik yang penuh ketegangan, Linda bertindak di luar jangkaan apabila dia menanggalkan tiub pemakanan anaknya. Tindakan itu bukan sahaja mengejutkan, malah juga memperlihatkan sejauh mana tekanan telah mengaburkan pertimbangannya.

Keadaan menjadi semakin cemas apabila Linda dan suaminya, Charles kembali ke bilik hotel dan mendapati anak mereka telah ditinggalkan bersama orang asing. Rasa takut yang menyelubungi Linda ketika itu terasa begitu nyata.

Bukan sekadar panik seorang ibu, tetapi ketakutan yang lahir daripada kesedaran bahawa dia mungkin telah kehilangan kawalan sepenuhnya.

Dalam keadaan yang kacau itu, Linda melarikan diri ke pantai. Dia berlari ke arah laut, berulang kali dihentam ombak dan terhempas kembali ke darat.

Seolah-olah mencerminkan keadaan emosinya yang tidak stabil. Cuba melawan, tetapi tetap ditolak kembali oleh realiti.

Apabila dia akhirnya tersedar, anaknya berada di sisi. Dalam momen yang sarat emosi itu, Linda berjanji bahawa dia akan “be better”.

Dan senyuman kecil anaknya, terasa seperti satu bentuk pengampunan. Mengikut tafsiran saya sebagai seorang penonton.

Namun, jika kita kembali kepada peristiwa wanita di Thailand itu, persoalan yang sama juga wajar kita renungkan. Bukan untuk membenarkan, tetapi untuk memahami.

Apakah yang sebenarnya mendorongnya ke titik itu? Adakah dia sedang bergelut dengan tekanan yang tidak tertanggung? Adakah kehamilan itu sesuatu yang tidak dirancang, mungkin juga berada di luar norma sosial seperti anak luar nikah?

Atau adakah dia sekadar seorang manusia yang telah terlalu lama memendam beban walaupun dengan cara yang paling tidak dapat diterima.

Kita mungkin tidak akan pernah tahu jawapan yang sebenar. Namun, Linda yang cuba bertahan dalam dunia yang tidak memberi ruang untuk runtuh, wanita itu juga dalam kemungkinan yang paling gelap.

Mungkin sedang berada di ambang kejatuhan yang sama. Ini bukan soal menyamakan, apatah lagi menghalalkan.

Tetapi untuk mengakui bahawa di sebalik tindakan yang kita anggap kejam, kadangkala wujud manusia yang sudah terlalu letih untuk berfikir dengan waras.

Persoalannya tetap sama; apabila seseorang itu terlalu lama memikul beban, tanpa ruang untuk dilepaskan, tanpa bahu untuk bersandar, sejauh mana dia mampu bertahan sebelum akhirnya rebah?

Maka mungkin, di sinilah kita perlu melihat semula makna ketahanan itu sendiri. Bahawa tidak semua yang bertahan itu kuat. Dan tidak semua yang rebah itu lemah.

Mungkin, yang paling sukar untuk kita terima, adalah hakikat bahawa tidak semua orang mampu untuk terus “okay”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *