Ahli akademik sokong pencalonan bersama makyung ke UNESCO demi sinergi budaya ASEAN

Kipliabdulrahaman

Pengarah Institut Seni Kreatif Nusantara (INSAN), Prof. Dr. Mohd Kipli Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR — Seorang ahli akademik berpandangan langkah Malaysia bekerjasama dengan Indonesia dalam pencalonan lanjutan seni makyung ke UNESCO wajar dilihat sebagai usaha memperkukuh sinergi budaya serantau, bukannya isu perebutan hak milik warisan.

Pengarah Institut Seni Kreatif Nusantara (INSAN), Prof. Dr. Mohd Kipli Abdul Rahman berkata, rantau Asia Tenggara sememangnya berkongsi akar budaya yang sama, justeru pencalonan bersama bukan sesuatu yang perlu dipersoalkan secara negatif.

“Demi kesejahteraan ASEAN, saya rasa tidak ada masalah untuk kita berkongsi. Seni budaya warisan di rantau ini memang banyak persamaannya, dan pencalonan bersama adalah sesuatu yang baik,” katanya ketika ditemui Titik Baca di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), hari ini.

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan bersetuju memperbaharui status seni persembahan tradisional makyung di bawah UNESCO dengan melibatkan Indonesia menerusi pencalonan lanjutan bersama ke dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.

Makyung telah diiktiraf UNESCO sebagai warisan budaya tidak ketara milik Malaysia pada tahun 2008.

Namun, perkembangan terbaharu itu mengundang pelbagai reaksi apabila Indonesia turut menyertai pencalonan berkenaan atas faktor sejarah penyebaran makyung ke wilayah Kepulauan Riau sejak abad ke-19.

Mengulas lanjut, Kipli berkata pendekatan perkongsian budaya itu selari dengan usaha memperkasakan identiti budaya ASEAN secara kolektif.

“Kalau kita lihat dari sudut lebih luas, bagaimana kita mahu memperkukuh ASEAN dalam bidang budaya dan warisan, maka kita perlu menunjukkan sinergi antara negara-negara ASEAN. Kita perlu memperlihatkan bahawa ada budaya yang dikongsi bersama,” katanya.

Beliau turut mengaitkan pendekatan itu dengan aspirasi UNESCO melalui Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), yang menurutnya memberi penekanan kepada hubungan budaya rentas wilayah dan bukan hanya bersifat nasional semata-mata.

Menurut beliau, konsep Kepulauan Melayu yang pernah menjadi identiti rantau Nusantara menunjukkan budaya masyarakat serumpun berkembang daripada akar sejarah yang sama sebelum dipisahkan oleh sempadan politik moden.

“Kita dahulu dikenali sebagai Kepulauan Melayu. Itu bermaksud kita berkongsi budaya yang sama. Apabila ruang, masa dan sistem politik berubah, maka berlakulah modifikasi terhadap budaya tersebut,” jelasnya.

Tambah beliau, walaupun berlaku perubahan mengikut konteks tempatan setiap negara, nilai dan ciri budaya asal masih dapat dikenal pasti sebagai warisan bersama rantau ini.

“Apa yang penting ialah bagaimana kita melihat nilai Kepulauan Melayu itu masih wujud dan bagaimana budaya serta warisan boleh menjadi faktor penyatuan serantau,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar isu warisan budaya tidak dilihat secara terlalu eksklusif sehingga menjejaskan semangat kebersamaan ASEAN.

“Saya rasa kita tidak boleh terlalu eksklusif. Kalau terlalu eksklusif, itu juga tidak sihat. Sedangkan kita sedang membawa jenama Kepulauan Melayu,” katanya.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *