KUALA LUMPUR — Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan usaha menghargai tokoh bahasa, ilmuwan dan pemikir tanah air menerusi pelancaran beberapa judul penting sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026) yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada hari pertama penganjuran PBAKL 2026.
Antara judul yang diperkenalkan ialah Abdullah Hassan: Demi Memandaikan Bangsa tulisan Salinah Ja’far, sebuah biografi yang mengangkat perjalanan hidup dan sumbangan Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan sebagai tokoh bahasa Melayu dan ilmuwan yang disegani.
Biografi tersebut menampilkan perjalanan kehidupan Abdullah Hassan sejak awal penglibatan beliau dalam dunia akademik sehingga muncul sebagai antara tokoh penting dalam usaha memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Selain merakamkan sejarah perjuangan beliau dalam bidang bahasa dan pendidikan, karya ini turut mengetengahkan pemikiran serta gagasan beliau terhadap pembangunan masyarakat melalui ilmu dan budaya membaca.
Penerbitan biografi ini dilihat sebagai satu bentuk penghargaan DBP terhadap jasa besar beliau dalam memartabatkan bahasa Melayu serta menyumbang kepada perkembangan dunia intelektual negara.
Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia akademik dan penerbitan, Abdullah Hassan dikenali sebagai individu yang konsisten memperjuangkan budaya ilmu serta penghasilan bahan bacaan berkualiti dalam bahasa Melayu.
Nama beliau juga amat dekat dengan dunia penerbitan tempatan melalui penglibatan bersama PTS Media Group, khususnya dalam usaha memperluaskan akses bahan bacaan bahasa Melayu kepada masyarakat.
Aspirasi tersebut turut selari dengan semangat “Memandaikan Bangsa” yang terus menjadi pegangan dalam pembangunan ilmu dan budaya membaca di negara ini.
Selain Abdullah Hassan: Demi Memandaikan Bangsa, beberapa lagi judul turut dilancarkan dalam majlis yang sama, antaranya Salahuddin Ayub: Budak Suci di Lembah Siasah karya Muhaimin Sulam, Asraf: Raja Bahasa Tanpa Mahkota tulisan Awang Sariyan dan Malaysia Madani: Perspektif Sosiobudaya karya A. Aziz Deraman.
Pelancaran karya-karya tersebut memperlihatkan komitmen berterusan DBP dalam mengangkat tokoh bahasa, ilmuwan dan pemikiran tempatan agar terus dikenali serta dihargai oleh generasi masa kini.
Buku Abdullah Hassan: Demi Memandaikan Bangsa kini boleh didapati di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka di PBAKL 2026 yang berlangsung 29 Mei hingga 7 Jun ini.













