Festival Puisi Dunia 2026: Malam puisi dan lagu satukan sasterawan Nusantara

Malampuisiniah

Kredit foto: Myoung Sook Kang.

MIRI – Semangat kecintaan terhadap sastera dan budaya melampaui sempadan apabila para penyair, penulis dan seniman dari Malaysia, Brunei Darussalam, serta Indonesia berhimpun dalam acara Gema Niah: Malam Puisi dan Lagu.

Majlis yang penuh bermakna ini dianjurkan sebagai pengisian rohani dan budaya sebelum para peserta memulakan ekspedisi menjejakkan kaki ke Gua Niah serta melawat rumah panjang pada hari ini harinya.

Acara dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Jaya Ramba yang membawakan puisi tradisi Iban dalam bentuk mentera.

Beliau turut mendeklamasikan puisi daripada kumpulan terbaharunya berjudul Sirat tang Tidak Mahu Dilerai, yang mengangkat tema jati diri bangsa yang tidak lekang dek zaman.

Antara pengisian yang paling memukau hadirin ialah segmen “Lukis Kata” oleh Zefri Ariff dari Brunei Darussalam.

Beliau menggabungkan deklamasi puisi berjudul Transcendental Kata dan Warna dengan penghasilan lukisan secara spontan di atas pentas, yang menggambarkan bagaimana kata-kata boleh menjelma menjadi citra dan warna.

Suasana malam tersebut terus dihangatkan dengan deklamasi puisi spontan oleh Datuk Jasni Matlani yang mengisahkan perjalanan beliau menuju ke Niah.

Selain itu, Ketua 1 Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) Abizai (Zainal Abidin Suhaili) turut menyumbangkan suara menerusi lagu puisi ciptaan beliau sendiri, Terima Kasih Kekasih.

Turut memeriahkan majlis ialah:

  • Awang Suip Abdul Wahab (Pemangku Pengarah DBP Brunei Darussalam) yang menyampaikan puisi Guris Pahlawan.
  • Kumpulan Laskar Seni yang membawakan lagu puisi menyentuh jiwa seperti Kembalikanlah karya Allahyarham Datuk Firdaus Abdullah.
  • Dr. Mawar Marzuki yang membacakan puisi Jemerlang Padang dan Hati serta sebuah puisi hiba buat ahli keluarganya yang telah tiada.
  • Nazmi Yaakub dengan puisi berinspirasikan Rumi, Membaca Makna pada Masnawi 1.

Majlis diakhiri dengan persembahan syair oleh Muhammad Amran Daud dan nyanyian lagu Bimbang Serumpun Kasih oleh Faizal Jamil.

Sebelum bersurai, para peserta diberikan taklimat persiapan fizikal oleh Paul Ng bagi memastikan semua ahli delegasi bersedia untuk perjalanan jauh ke Gua Niah pada awal pagi hari ini.

Acara ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian karya, malah memperkukuhkan ukhuwah antara penulis Nusantara dalam memartabatkan warisan budaya serantau.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *