Pada 12 sehingga 14 Jun 2026 berlangsungnya Festival Puisi Dunia Niah 2026 di Miri, Sarawak.
Program ini dianjurkan oleh Nusa Centre, dengan kerjasama Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan disokong oleh Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); selain dijayakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dan DBP Cawangan Sarawak.
Tujuan utama festival ini adalah untuk memartabatkan kesusasteraan, memperkasakan bahasa Melayu dan membina jaringan antarabangsa dalam kalangan penggiat sastera.
Karyawan dari luar negara dan tempatan hadir dan memeriahkan festival ini untuk menghargai khazanah puisi, berkongsi pengalaman penulisan sastera dan menyulam hubungan antara negara yang sama-sama menjulang tinggi nilai puisi.
Selain disertai oleh penggiat sastera tempatan, peserta festival ini turut terdiri daripada penyair dan penulis dari Amerika Syarikat, Uzbekistan, Korea, Jepun dan Brunei Darussalam.
Para peserta antarabangsa yang berpengalaman ini mempunyai pelbagai latar belakang dalam bidang penulisan puisi, penterjemaah dan akademik.
Festival dimulakan dengan majlis perasmian yang diadakan di Hotel Mega Miri, Sarawak.
Program yang bertaraf antarabangsa ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man.
Turut hadir Ahli Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Dr. Jeniri Amir dan Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Abang Haliman Abang Julai; Ketua 1 PUTERA, Zainal Abidin Suhaili; Pengarah Urusan Nusa Centre, Syed Mohd Zakir Syed Othman; dan Pemangku Pengarah DBP Brunei Darussalam, Awang Suip Haji Abdul Wahab.
Sesebuah majlis perasmian di Bumi Kenyalang tidak lengkap sekiranya tidak dihiburkan dengan lenggok tari kebudayaan yang mempesonakan.
Tarian tradisional orang Ulu yang dipersembahkan oleh kaum wanita menjadi persembahan pembukaan majlis, diikuti dengan pertunjukan lagu puisi daripada kumpulan Kelang Kelus (Miri), persembahan syair daripada Encik Mohamad Faizal Jamil, dan nyanyian lagu puisi daripada kumpulan Lasykar Seni (Kuching).
Majlis bertambah istimewa dengan sesi mendeklamasikan puisi daripada para peserta Malaysia dan luar negara.
Masing-masing melafazkan bait kata puisi mereka dengan penuh penghayatan meski berbeza bahasa.
Hari kedua festival diadakan di Sutera Horizon, Taman Negara Niah. Acara dimulakan dengan empat sesi Dialog Puisi Dunia Niah yang dibahagikan kepada dua sesi selari.
Aktiviti intelektual ini melibatkan para panel tempatan dan antarabangsa yang menceritakan pengalaman serta pengetahuan mereka tentang kegiatan sastera negara masing-masing.
Ahli panel Dialog Puisi Dunia Niah sesi pertama ialah Datuk Jasni Matlani (Malaysia), Yuki Nagae (Jepun) serta Jami Lyn Xu (Amerika Syarikat) dan dimudahcarakan oleh Asyiqin Abdul Razak selaku moderator.
Bagi sesi kedua pula, Nuruljannah Usop bertugas sebagai moderator dan ahli-ahli panelnya ialah Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy (Malaysia), Azam Abidov @ Azam Obid (Uzbezkistan) dan Dr. Kang Myoung Sook (Korea).
Acara diteruskan lagi dengan Dialog Puisi Dunia Niah sesi ketiga yang dimudahcarakan oleh Poul Nanggang selaku moderator, dan ahli panelnya ialah Dr. Shamsudin Othman (Malaysia), Zainal Abidin Suhaili (Malaysia), dan Encik Hipani Alwi (Malaysia).
Sesi dialog terakhir pula dikendalikan oleh Jaya Ramba sebagai moderator, Shahunizam Abd Talib (Malaysia), Mohd Zakri Zakaria (Malaysia), dan Mohammed Zefri Ariff Mohd Zain Ariff (Brunei Darussalam).
Aktiviti pada sebelah petang diteruskan dengan Bual Puisi Gema Niah. Para peserta dibahagikan kepada dua buah kumpulan dan dikendalikan oleh ketua kumpulan masing-masing.
Setiap seorang ahli pun berkongsi penglibatan mereka dengan karya puisi. Banyak kisah dan pengalaman yang diceritakan.
Tidak kurang juga dorangan serta kata-kata semangat disuntik dalam diri para penyair untuk terus berkarya.
Pada sebelah malamnya pula ialah acara Malam Gema Niah yang turut dihadiri oleh tetamu undangan dan kehormat.
Majlis dimulakan dengan puisi tradisi Iban yang disampaikan oleh Jaya Ramba. Kemudian dimeriahkan lagi dengan persembahan segmen “Gema Nusantara Niah”, “Gema Dunia Niah” dan “Gema Warisan Niah” yang dipersembahkan oleh penyair dari Malaysia dan Brunei Darussalam.
Nyanyian lagu puisi daripada kumpulan Lasykar Seni turut menjadi halwa di telinga para hadirin tatkala mereka sedang menikmati jamuan makan malam.
Acara Kebudayaan Rumah Panjang Patrick Libau dan Jelajah Gua Niah – 14 Jun 2026
Ekspedisi dimulakan dengan perjalanan ke rumah panjang Patrick Libau yang memerlukan para peserta menaiki perahu untuk menyeberangi sungai.
Mereka perlu merentasi beberapa kilometer hutan sebelum sampai ke destinasi. Selain dapat menikmati suasana hutan yang tenang dan nyaman, para peserta dapat melihat rimba Sarawak yang kaya dengan flora dan fauna yang terdiri daripada pelbagai spesis.
Setibanya di rumah panjang, para peserta disambut hangat oleh ketua ruai dan para penghuninya. Wakil rumah panjang Patrick Libau turut memberikan taklimat tentang asal usul rumah budaya itu dan kegiatan harian penduduknya.
Acara kebudayaan ini dimeriahkan lagi dengan tarian Ngajat yang diiringi dengan pukulan alat muzik tradisional Sarawak.
Para peserta festival diajar cara menari ngajat. Hasil kraftangan warga tempatan turut dijual dan dipamerkan di rumah panjang tersebut.
Perjalanan diteruskan dengan menjelajah Gua Niah yang lokasinya terletak tidak jauh dari rumah panjang.
Sesi bacaan puisi diadakan di sekitar gua. Para peserta tempatan dan antarabangsa tidak melepaskan peluang bermakna ini untuk mendeklamasikan puisi di tempat bersejarah ini.
Selesai sahaja sesi bergambar, para peserta pun beransur pulang. Ada juga yang sempat singgah ke muzium Gua Niah untuk melihat artifak-artifak yang pernah ditemui di dalam gua tersebut dan sejarahnya.
Festival Puisi Dunia Niah 2026 berjaya dilaksanakan berdasarkan matlamat dan rancangannya.
Program ini bukan sahaja menyatukan penggiat sastera tempatan dan antarabangsa melalui puisi, tetapi turut memperlihatkan keindahan serta kepelbagaian tradisi puisi dari pelbagai negara.
Segala perkongsian ilmu, pengalaman dan pemikiran antara penyair, penulis serta penterjemah dicurahkan dalam festival yang bermakna ini.
Gabungan acara seperti dialog puisi, persembahan kesenian, malam deklamasi puisi dan jelajah warisan budaya di Niah mewujudkan pengalaman yang bernilai kepada para peserta dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu serta menjalin hubungan sastera merentas sempadan.
Sebagai warga Sarawak dan urus setia festival, diharapkan Festival Puisi Dunia Niah akan terus diadakan pada masa akan datang dengan lebih banyak penglibatan daripada seantero negara dan generasi muda yang bakal melanjutkan dunia kesusasteraan.
Penganjuran program seperti ini boleh mengangkat kedudukan Malaysia, terutamanya Miri, Sarawak sebagai lokasi penting bagi kegiatan sastera dan kebudayaan.
Semoga semangat yang membara sepanjang festival ini akan terus mekar demi memartabatkan khazanah puisi.













