SHAH ALAM — Hubungan antara pengkritik, karya, dan penonton kini berada di persimpangan jalan yang mencabar apabila beralih dari era media tradisional ke zaman algoritma dan penstriman.
Dalam forum “Pasca Wayang: Masa Depan Penonton Kita” yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada pengisian Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur, bekas pengkritik filem veteran, Dato’ Saniboey Mohd Ismail, berkongsi pandangan kritis mengenai ekosistem perfileman tanah air.
Bertempat di Kafe Tiga Belas, semalam, sesi yang bermula jam 5.00 petang itu dikendalikan oleh pengelola ruangan sastera SelangorKini, Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri.
Forum ini bertujuan membincangkan evolusi penonton serta cabaran dalam membentuk generasi yang mampu berfikir dan berdialog tentang filem.
Pecah panggung bukan penentu filem bagus
Saniboey memulakan perbincangan dengan mempersoalkan slogan “Filem Kita, Wajah Kita”.
Beliau mengimbas kembali pengalaman mengkritik Sembilu pada era 90-an yang mencetuskan kemarahan pengkarya kerana beliau bertegas bahawa kutipan jutaan ringgit tidak semestinya mencerminkan kualiti seni yang baik.
“Box office returns not necessarily menjadikan filem kau bagus,” tegas beliau, sambil menambah bahawa filem popular pada zaman itu jarang mencerminkan wajah sebenar masyarakat.
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap kecenderungan agensi seperti FINAS dan Kementerian Kewangan (MOF) yang kini lebih mementingkan pulangan pelaburan (ROI) berbentuk materialistik berbanding pembangunan budaya.
Cabaran algoritma, speed above intellectuality
Menyentuh tentang perubahan medium, Saniboey menyatakan bahawa pengkritik filem bukan lagi “pintu utama” bagi penonton untuk membuat keputusan.
Sebaliknya, ekosistem digital seperti TikTok dan meme kini lebih dominan dalam membentuk pendapat awam.
Beliau menyifatkan fenomena hari ini sebagai speed above intellectuality (kepantasan mengatasi intelektualiti), dengan maksud ada pihak yang membuat ulasan filem hanya berdasarkan trailer tanpa menonton karya penuh.
“You are no longer the main door… at times you are noise,” kata beliau merujuk kepada peranan pengkritik di tengah-tengah kepesatan media sosial.
Namun, beliau tetap menyokong kebebasan bersuara bagi semua pihak asalkan ia dilakukan secara bertanggungjawab.
Kelompongan dasar dan masa depan literasi
Moderator, Sayidah Mu’izzah, membangkitkan persoalan tentang bagaimana mendidik penonton untuk lebih menghargai aspek intelektual dalam filem.
Saniboey mendedahkan bahawa dalam Dasar Perfileman Negara, perkataan “penonton” sendiri tidak ditekankan secara jelas, sekali gus menunjukkan kelompongan dalam usaha membina literasi filem di peringkat nasional.
“Saya tak nampak perkataan penonton dalam dasar perfileman negara… padahal itu adalah konsep kunci untuk pembangunan industri kreatif,” ujar beliau.
Beliau turut menyeru agar lebih banyak adaptasi karya sastera hebat, seperti tulisan Abdullah Hussein, dibawa ke layar perak bagi mendidik penonton, berbanding hanya bergantung kepada novel-novel “picisan”.
Harapan untuk sinema Malaysia
Walaupun mengakui banyak kekecewaan dalam industri, terutamanya isu arkib filem yang terabai dan birokrasi, Saniboey berharap agar generasi muda tidak berputus asa.
Beliau menekankan bahawa pengalaman menonton di sinema adalah satu keunikan yang tidak boleh digantikan oleh platform penstriman seperti Netflix.
Sesi ini diakhiri dengan kesimpulan bahawa masa depan penonton kita bergantung kepada usaha kolektif untuk terus mempersoal, berdialog, dan menghargai filem melampaui angka kutipan semata-mata.













