Dali Fazuri tak tahu hak terjemahan Tolkien masih dilindungi, projek terjemah The Hobbit tergendala

Dalifazuri

KUALA LUMPUR — Hasrat penterjemah dan penulis, Dali Fazuri untuk menghasilkan versi bahasa Melayu novel terkenal The Hobbit terpaksa dihentikan selepas beliau mendapati hak terjemahan karya berkenaan masih dilindungi dan memerlukan lesen rasmi daripada pemegang hak cipta.

Menurut Dali, beliau mula mengusahakan terjemahan karya klasik tulisan J.R.R. Tolkien itu sekitar tahun 2022 dengan jangkaan karya tersebut akan memasuki status milik awam (public domain) bermula 2024.

Perkara itu dijelaskan beliau selepas menerima pertanyaan daripada Naim al-Kalantani sejurus selesai sesi Festival Kata sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini.

“Benar, sekitar 2022, saya pernah cuba menterjemah The Hobbit, karya besar Tolkien. Saya menjangkakan bermula 2024, karya-karya Tolkien akan menjadi milik awam selepas mengira 75 tahun selepas kematiannya,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, ketika proses terjemahan itu sudah mencapai kira-kira separuh buku, Dali berkata beliau dimaklumkan bahawa karya-karya Tolkien masih di bawah kawalan pemegang hak cipta, iaitu Tolkien Estate.

Menurutnya, sebarang penerbitan terjemahan perlu mendapat lesen rasmi terlebih dahulu daripada pihak berkenaan.

“Maka di sinilah deadlocknya, kerana lesennya tidak murah,” jelas beliau.

Susulan itu, projek terjemahan novel tersebut tidak dapat diteruskan buat masa ini.

Walaupun begitu, Dali tidak menolak kemungkinan untuk kembali menterjemah karya Tolkien pada masa hadapan sekiranya terdapat penerbit yang berjaya memperoleh hak penerbitan rasmi daripada pemegang lesen.

“Tak mengapa, kita tunggulah sehingga ada penerbit yang berhasil mendapatkan hak penerbitan terjemahan Tolkien. Itu pun kalau penerbit tersebut sudi mengambil saya sebagai penterjemahnya,” katanya bersemangat.

Melalui komennya juga, Dali turut sempat memberitahu bahawa kali terakhir menyemak harga hak cipta terjemahan karya agung itu dua tahun lalu bernilai sekitar £5000 (RM27,000) dan kini mungkin telah meningkat harganya.

Dalam masa sama, beliau mengajak pembaca untuk terus mengikuti dan menikmati karya-karya terjemahan lain yang telah dihasilkannya sementara menunggu peluang tersebut menjadi kenyataan.

Kenyataan itu sekali gus menjawab persoalan yang sering dibangkitkan peminat mengenai kemungkinan karya-karya terkenal Tolkien diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Dali pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *