Magis Belantara 2026 angkat kepelbagaian warisan orang asli

Magisbelantara

KUALA LUMPUR — Program Citra Nusa@Muzium: Magis Belantara 2026 menjadi wadah memperkenalkan kepelbagaian budaya, adat resam, seni persembahan, kraf tradisional serta kearifan tempatan masyarakat Orang Asli kepada masyarakat umum.

Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Jabatan Muzium Malaysia (JMM) itu berlangsung selama dua hari, iaitu pada 8 dan 9 Ogos 2026 di Dataran Muzium Negara, dengan menghimpunkan komuniti daripada 18 kelompok Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Majlis perasmian program disempurnakan Ketua Setiausaha KPN, Dato’ Haslina Abdul Hamid, hari ini.

Program tahunan yang dikendalikan JMM menerusi Muzium Seni Kraf Orang Asli itu mengetengahkan konsep “budaya yang dipentaskan” (stage culture) bagi memberi peluang kepada masyarakat menyaksikan serta berinteraksi secara langsung dengan warisan dan budaya Orang Asli.

Penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama beberapa rakan strategik, termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Asyik FM serta komuniti Orang Asli.

Dalam ucapannya, Haslina berkata hasrat JMM untuk mengangkat Patung Moyang Lanjut bagi tujuan pengiktirafan sebagai Objek Warisan dan seterusnya Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 merupakan satu langkah yang sangat signifikan.

“Pengiktirafan ini memperlihatkan komitmen Kerajaan dalam mengiktiraf sumbangan masyarakat Orang Asli sebagai sebahagian daripada warisan kebangsaan yang membentuk identiti Malaysia,” katanya.

Antara pengisian yang disediakan sepanjang program termasuk pameran mini seni alat perburuan Orang Asli, persembahan kebudayaan, aktiviti keluarga, petting zoo, pertandingan masakan warisan Orang Asli dan demonstrasi kraftangan.

Program itu turut menampilkan pelbagai demonstrasi, aktiviti permainan serta reruai jualan hasil kraf Orang Asli, sekali gus membuka ruang kepada pengunjung mengenali dengan lebih dekat keunikan kehidupan dan warisan komuniti berkenaan.

Penganjuran Magis Belantara 2026 mencerminkan komitmen JMM dalam memperkukuh peranan institusi muzium sebagai penjaga warisan negara (Custodian of National Heritage), di samping menyediakan platform ilmu, pendidikan dan interaksi budaya dalam usaha membina negara bangsa.

Usaha berkenaan turut memperlihatkan kepentingan pemeliharaan warisan Orang Asli sebagai sebahagian daripada khazanah budaya yang membentuk identiti dan kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *