Printlab angkat seni cetak sebagai medium rakam kenangan, pengalaman

Printlablangkawi

LANGKAWI — Seni cetak terus diperkasa sebagai salah satu medium penting dalam seni visual menerusi Pameran PrintLab: Melakar Kenangan, Mencetak Impian yang berlangsung di Balai Seni Negara Cawangan Langkawi sehingga 27 Februari 2027.

Pameran anjuran Balai Seni Negara Cawangan Langkawi dengan kerjasama Chetak 17 itu menghimpunkan karya yang mengangkat seni cetak sebagai medium untuk merakam pengalaman, meneroka landskap serta menzahirkan tafsiran seniman terhadap ruang dan persekitaran.

Pameran berkenaan menampilkan karya sembilan seniman yang merupakan ahli Chetak 17, iaitu Bayu Utomo Radjikin, Allahyarham Samsudin Wahab, Faizal Suhif, Haslin Ismail, Azam Aris, Fadhli Ariffin, Fadli Mokhtar, Luqman Yusry dan Iward Mahadi.

Menurut Balai Seni Negara, pameran itu merupakan antara usaha pihaknya dalam memperkukuh kedudukan seni cetak sebagai sebahagian daripada medium seni visual, selain menyediakan ruang kepada seniman untuk berkarya, bereksperimentasi serta berkongsi pengalaman pengkaryaan dengan masyarakat.

“Melakar Kenangan, Mencetak Impian merujuk kepada proses penghasilan seni cetak yang bermula dengan lakaran, lahir daripada pemerhatian, pengalaman dan memori.

“Lakaran tersebut kemudiannya diterjemahkan ke atas plat cetakan sebelum melalui proses cetakan bagi menghasilkan karya akhir,” menurut kenyataan itu, semalam.

Dalam konteks lebih luas, proses berkenaan mencerminkan bagaimana pengalaman dan pemerhatian terhadap sesuatu ruang dapat diterjemahkan melalui bahasa seni visual, dengan setiap lakaran menjadi titik permulaan kepada proses penerokaan, manakala hasil cetakan menjadi bentuk dokumentasi terhadap pengalaman yang dilalui seseorang seniman.

Pameran itu turut didedikasikan khas buat Allahyarham Samsudin Wahab, pengasas bersama Chetak 17 yang meninggal dunia pada 7 Mei lalu.

Dedikasi Allahyarham terhadap seni cetak serta kepercayaan berterusan terhadap semangat kolektif dalam berkarya disifatkan sebagai antara sumber inspirasi kepada komuniti seni cetak.

Selain karya ahli Chetak 17, pameran itu turut mempersembahkan siri Printmaking In-Situ – Lakar Terus yang dihasilkan menerusi proses pengkaryaan secara langsung di beberapa lokasi terpilih sekitar Pulau Langkawi.

Antara lokasi yang menjadi sumber inspirasi penghasilan karya ialah Gunung Raya, Rumah Api Pantai Kok, Taman Lagenda, Pulau Pasir, Pulau Dangli dan Air Terjun Temurun.

Siri berkenaan turut disemarakkan menerusi penglibatan artis jemputan terdiri daripada Bayu Utomo Radjikin, Shahrin Zainurin, Faizal Suhif, Haslin Ismail, Azam Aris, Asraf Hidayat, Fadli Mokhtar, Fuad Pathil dan Iward Mahadi.

Menerusi pendekatan on-site itu, para seniman membuat pemerhatian terhadap landskap, persekitaran dan suasana setempat sebelum menghasilkan lakaran berdasarkan pengalaman mereka di lokasi.

Proses pengkaryaan kemudian diteruskan dengan penghasilan plat dan karya seni cetak di Studio Seni Cetak Balai Seni Negara Langkawi.

Sebagai pelengkap kepada pameran, Bengkel Seni Cetakan Viscosity dan Kolograf turut dianjurkan selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Ogos 2026 di bawah bimbingan Abdul Mansoor Ibrahim, tokoh yang berpengalaman luas dalam bidang seni cetakan tanah air.

Bengkel itu menghimpunkan sembilan artis dari Langkawi bagi memperkukuh perkongsian ilmu dan kemahiran dalam bidang seni cetakan.

Karya yang dihasilkan sepanjang bengkel turut dipamerkan di ruang galeri Balai Seni Negara Cawangan Langkawi sebagai sebahagian daripada pengisian pameran, sekali gus memperlihatkan proses kreatif serta perkembangan seni cetak dalam kalangan penggiat seni tempatan.

Orang ramai dijemput mengunjungi Pameran PrintLab: Melakar Kenangan, Mencetak Impian bagi memahami dengan lebih dekat proses dan pemikiran di sebalik penghasilan karya seni cetak.

Pameran itu juga diharap dapat memperkukuh apresiasi masyarakat terhadap seni visual sebagai medium yang bukan sahaja menghasilkan karya estetik, malah mampu merakam pengalaman serta menterjemahkan hubungan manusia dengan alam, budaya dan persekitaran.

  • Ashraf Ali

    Ashraf Ali, wartawan Titik Baca yang menumpukan liputan sastera, budaya dan seni. Penulisannya memberi perhatian kepada perkembangan semasa, isu penerbitan, acara budaya serta kenyataan rasmi yang berkaitan dunia kreatif tempatan.

    Dengan pendekatan pelaporan yang ringkas dan berfakta, Ashraf Ali menekankan kejelasan maklumat, konteks dan ketepatan sumber, selari dengan peranan Titik Baca sebagai portal media budaya. Ashraf boleh dihubungi melalui ashrafali@titikbaca.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *