KUALA LUMPUR — Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam Komuniti Sosio-Budaya ASEAN dengan menjadikan sektor pelancongan, seni, budaya dan inovasi sebagai wadah strategik untuk merapatkan hubungan antara negara anggota.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi Sambutan dan Pameran Hari ASEAN 2026 peringkat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang berlangsung di lobi kementerian, semalam.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff dan turut dihadiri Pegawai Bahagian Kebudayaan dan Penerangan (CID), Sekretariat ASEAN, Fiori Rizki Djuwita.
Sambutan Hari ASEAN bukan sekadar memperingati penubuhan pertubuhan serantau itu, malah menjadi ruang untuk memperlihatkan potensi sektor sosio-budaya sebagai pemangkin kepada hubungan lebih erat dalam kalangan masyarakat ASEAN.
Dalam konteks tersebut, pelancongan, seni dan budaya mempunyai peranan penting dalam membina persefahaman kerana sifatnya yang merentas sempadan serta mampu mempertemukan masyarakat daripada latar budaya yang berbeza.
MOTAC melihat kepelbagaian warisan dan budaya ASEAN sebagai kekuatan bersama yang boleh dimanfaatkan bagi membentuk komuniti serantau yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.
Pendekatan itu turut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kepentingan kerjasama, keterangkuman dan pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Pada masa yang sama, elemen inovasi dilihat mampu membuka ruang baharu kepada negara anggota ASEAN untuk memperkasa sektor kreatif dan pelancongan, di samping meningkatkan daya saing rantau ini dalam menghadapi perubahan landskap global.
Kerjasama erat antara MOTAC dengan Sekretariat ASEAN menerusi program seumpama itu mencerminkan usaha berterusan Malaysia untuk memperkukuh jaringan serantau, khususnya dalam bidang kebudayaan dan penerangan.
Melalui penggemblengan kekuatan pelancongan, seni, budaya dan inovasi, ASEAN bukan sahaja dapat meraikan kepelbagaian warisan rantau, malah membina jambatan hubungan people-to-people yang menjadi asas penting kepada pembentukan komuniti serantau yang lebih dinamik dan bersatu.













