KUALA LUMPUR — Program ASEAN–China Heritage Dimensions of National Arts 2.0 (ACH-DNA 2.0) melabuhkan tirainya menerusi ASEAN–China Silken Ties Textile Showcase & Gala Night, yang mengetengahkan kekayaan warisan tekstil serta memperkukuh hubungan budaya antara negara anggota ASEAN dengan Republik Rakyat China.
Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Society of Creative Symphony (SCS) dan sokongan ASEAN–China Cooperation Fund (ACCF) itu turut memperlihatkan peranan inovasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam membentuk masa hadapan pemeliharaan serta pengembangan warisan budaya.
ACH-DNA 2.0 merupakan antara program utama di bawah kepengerusian Malaysia dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab bagi Kebudayaan dan Kesenian (AMCA) bagi tempoh 2024–2026.
Program berkenaan turut memperkukuh peranan Malaysia sebagai Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-China bagi tempoh 2024–2027.
Berlangsung di Hemisphere Luxury Hall, KL Tower, malam gala itu menghimpunkan perwakilan diplomatik, pegawai kanan kerajaan, pemimpin budaya, ahli akademik, penggiat industri kreatif serta delegasi dari negara-negara ASEAN dan China.
Kehadiran Timbalan Menteri MOTAC, Chiew Choon Man menyerlahkan komitmen Malaysia untuk terus memelihara khazanah tradisi, selain memanfaatkan inovasi moden sebagai pemangkin kepada pembangunan budaya yang mampan.
Sementara itu, Kaunselor Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia, Li Zhenxing, menekankan kepentingan hubungan persahabatan dan kerjasama menyeluruh antara Malaysia dengan China, khususnya melalui pertukaran budaya yang dapat memperkukuh persefahaman serta hubungan rakyat dengan rakyat.
Kemuncak acara ialah ASEAN–China Silken Ties Textile Showcase dan persembahan fesyen yang mengetengahkan tekstil tenunan tangan serta rekaan kontemporari dari rantau ASEAN dan China.
Persembahan tersebut memperlihatkan bagaimana seni tekstil tradisional dapat diterjemahkan melalui pendekatan kreatif dan inovatif tanpa menghilangkan nilai, identiti serta warisan yang menjadi asas kepada penghasilannya.
Penganjuran ACH-DNA 2.0 sekali gus mencerminkan usaha Malaysia memperluas diplomasi budaya melalui seni, warisan dan industri kreatif, di samping membuka ruang kepada penerapan teknologi dalam usaha memastikan warisan terus relevan kepada generasi masa kini dan akan datang.
Program berkenaan turut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pemerkasaan masyarakat, ketahanan budaya serta perkongsian kemakmuran dalam kalangan negara serantau.












