Sarah Ross dakwa terima gangguan seksual dari penulis

Chat

KUALA LUMPUR — Penulis dan penyair Sarah Ross tampil mendedahkan pengalaman menjadi mangsa gangguan seksual secara maya yang didakwanya dilakukan oleh seorang individu dalam dunia sastera, sambil menyeru mangsa lain supaya tampil mengemukakan bukti.

Menerusi satu hantaran di media sosialnya pada Jumaat, Sarah berkata kejadian itu sebenarnya telah berlaku sejak beberapa tahun lalu, namun sebelum ini beliau memilih untuk berdiam diri kerana enggan memanjangkan isu berkenaan.

Menurut beliau, pada awalnya beliau menyangka mesej-mesej yang diterima mungkin dihantar oleh akaun palsu.

Bagaimanapun, selepas membuat semakan terhadap akaun Facebook individu terbabit, beliau percaya akaun tersebut adalah milik sebenar pelaku.

“Saya tak jumpa akaun lain atas nama pelaku. Saya search beberapa posting di Facebook rakan-rakan penulis juga ada tag akaun yang sama,” katanya.

Sarah turut berkongsi beberapa tangkap layar yang memaparkan profil Facebook individu yang didakwa menghantar mesej berkenaan.

Berdasarkan paparan tersebut, akaun berkenaan mempunyai kira-kira 5,300 pengikut, 1,500 akaun diikuti dan telah menghasilkan sekitar 6,700 hantaran di Facebook

Beliau turut memuat naik tangkap layar beberapa mesej yang didakwa dihantar oleh individu terbabit melalui Facebook Messenger. Antara mesej berkenaan berbunyi:

“Good morning, selamat pagi. Semoga sihat dan ceria selalu. Take care, baby. mwaachh.”

Selain itu, individu berkenaan juga didakwa menghantar mesej lain seperti:

“Take care, sweetie.”

“Take care, sweetheart. emmuuaacchhh.”

“Take good care, honey. emmuuaacchh.”

Menurut Sarah, semua mesej tersebut tidak pernah dibalas sehingga individu berkenaan akhirnya berhenti menghubunginya melalui Messenger.

Sarah turut mendedahkan bahawa beliau pernah mendengar terdapat penulis lain mengalami gangguan serupa, namun ketika itu tidak pasti sama ada melibatkan individu yang sama.

Beliau juga pernah berkongsi perkara tersebut dengan beberapa rakan penulis dalam kumpulan WhatsApp tanpa mendedahkan identiti pelaku.

Menurutnya, keputusan untuk mendedahkan perkara itu dibuat selepas mengetahui beberapa lagi penulis turut mengalami gangguan yang sama, termasuk dua mangsa yang dikenal pasti pada tahun 2025.

“Maknanya pelaku tak berhenti mencari mangsa,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Sarah menyeru mana-mana individu yang pernah mengalami gangguan serupa supaya mengumpulkan bukti bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Beliau turut mendakwa pelaku merupakan seorang tokoh yang mempunyai gelaran dalam dunia sastera dan menegaskan bahawa gangguan seksual, termasuk yang berlaku secara maya, merupakan satu jenayah.

“Pelaku bukan penulis picisan. Ada gelar dalam sastera. Gangguan seksual adalah jenayah, walaupun dilakukan secara maya.

“Saya menolak sekeras-kerasnya seorang pejuang sastera dengan perilaku negatif begini. Saya fikir gelar sasteranya patut dicabut,” katanya.

Hantaran tersebut turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga sastera dan pengguna media sosial yang menggesa supaya isu gangguan seksual dalam komuniti seni dan sastera ditangani dengan lebih serius, di samping menggalakkan mangsa tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai bukti.

Setakat berita ini ditulis, identiti individu yang didakwa menghantar mesej tersebut tidak didedahkan kepada umum.

Dakwaan yang dikongsikan Sarah Ross juga masih belum dapat disahkan secara bebas oleh media.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *