Menuai yang ditabur: Merayakan lapan dekad perjuangan tiga tokoh ilmu dan masyarakat

Menuaiyangditabur

Dari kiri: Dr. Zakaria Ali, Dr. Mohd Nasir Hashim, Dr. Rohana Ariffin. Foto kredit: Mohd Rashidi.

KUALA LUMPUR — Perjalanan lapan dekad kehidupan bukan sekadar ukuran usia, tetapi turut merakam jejak pemikiran, perjuangan dan sumbangan seseorang terhadap masyarakat.

Semangat inilah yang mendasari penganjuran Menuai yang Ditabur: Lapan Dekad Kehidupan, sebuah pertemuan intim bagi meraikan tiga tokoh, iaitu Dr. Rohana Ariffin, Dr. Zakaria Ali dan Dr. Mohd Nasir Hashim, pada Sabtu di Ruang Teduh Gallery, Exchange 106, Tun Razak Exchange.

Program anjuran Kolektif Nuansa itu menghimpunkan rakan seperjuangan, kenalan lama dan baharu untuk mengenang perjalanan tiga tokoh yang telah menyumbang dalam bidang aktivisme, seni halus, kesusasteraan, pendidikan, perubatan dan pemikiran sosial.

Idea penganjuran program ini dicetuskan oleh Dr. Halim Ali kira-kira dua tahun lalu.

Baginya, usia 80 tahun bukan sahaja wajar diraikan, malah perlu menjadi ruang untuk merenungkan perjalanan hidup, sumbangan dan pemikiran yang telah ditinggalkan oleh seseorang tokoh.

Ketiga-tiga tokoh ini mempunyai latar belakang dan jalur perjuangan yang berbeza.

Namun, mereka dipertemukan oleh kesungguhan memperjuangkan ilmu, membina kesedaran masyarakat dan mempertahankan nilai kemanusiaan dalam bidang masing-masing.

Dalam sesi perkongsian, Rohana mengimbas kembali penglibatannya dalam aktivisme sejak zaman mahasiswa di Universiti Malaya.

Kesedaran sosial yang terbentuk melalui gerakan solidariti petani dan bantahan terhadap Perang Vietnam menjadi antara pengalaman awal yang membentuk pendiriannya dalam memperjuangkan hak masyarakat.

Beliau dikenali sebagai tokoh yang lantang memperjuangkan hak wanita, khususnya golongan yang berhadapan dengan penindasan dan keganasan rumah tangga. Penglibatannya dalam gerakan masyarakat sivil, termasuk penubuhan bersama Pusat Krisis Wanita Pulau Pinang, memperlihatkan usaha beliau mengangkat isu keganasan terhadap wanita daripada persoalan peribadi kepada tanggungjawab sosial dan negara.

Rohana turut memainkan peranan penting dalam kempen yang menyumbang kepada penggubalan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Perjuangannya juga merangkumi kebebasan akademik, hak pekerja dan keadilan sosial, menjadikan pengalaman hidupnya sebahagian daripada rekod penting gerakan masyarakat sivil di Malaysia.

Sementara itu, Zakaria berkongsi perjalanan hidupnya dalam bidang seni halus dan penulisan, termasuk pengalaman ketika melanjutkan pengajian di Mexico.

Pengalaman merentas budaya dan lingkungan intelektual yang berbeza itu menjadi sebahagian daripada pembentukan pandangan beliau terhadap seni, sejarah dan kesusasteraan.

Walaupun pernah menuntut di Mexico, pengajian kedoktorannya di Universiti Harvard memfokuskan seni Islam di Asia Tenggara.

Tesis beliau, Islamic Art in Southeast Asia AD 830–1570 AD, memperlihatkan minat mendalam terhadap warisan seni Islam dan perkembangannya dalam rantau ini.

Pengalaman sebagai pengkaji seni turut berkembang menjadi kegiatan penulisan, penterjemahan dan penghasilan karya sastera.

Melalui esei seni, puisi, cerpen dan karya terjemahan, Zakaria memperlihatkan hubungan antara seni visual dengan bahasa, sejarah dan pengalaman manusia.

Perkongsian beliau mengingatkan hadirin bahawa perjalanan seorang seniman tidak terhenti pada penghasilan karya, tetapi turut melibatkan usaha memahami dan mentafsir dunia.

Bagi Mohd Nasir pula, perbincangan berkisar pada bidang perubatan, termasuk penguasaannya dalam akupunktur, serta minat berterusan terhadap penulisan dan persoalan falsafah kehidupan.

Latar belakang akademiknya dalam biologi dan pemakanan antarabangsa menjadi asas kepada perjalanan profesionalnya sebelum beliau turut terlibat secara mendalam dalam aktivisme sosial dan politik.

Nasir bukan sahaja dikenali melalui penglibatannya dalam perjuangan hak rakyat, termasuk isu peneroka bandar dan keadilan sosial, malah turut menghasilkan karya yang meneroka hubungan antara manusia, kerohanian dan ilmu.

Antara persoalan yang terus menarik perhatiannya ialah hakikat insan, fizik kuantum dan usaha manusia mencari diri serta memahami makna kehidupan.

Kecenderungan tersebut memperlihatkan sisi pemikiran Nasir yang melangkaui bidang profesionalnya.

Baginya, pencarian ilmu bukan sekadar usaha menguasai sesuatu disiplin, tetapi juga perjalanan untuk memahami kedudukan manusia dalam kehidupan dan hubungannya dengan masyarakat.

Ketiga-tiga perkongsian itu memperlihatkan bahawa usia lapan dekad tidak semestinya menandakan berakhirnya perjuangan intelektual.

Sebaliknya, pengalaman yang terkumpul sepanjang kehidupan dapat menjadi sumber pengetahuan dan renungan kepada generasi seterusnya.

Dalam konteks ini, Menuai yang Ditabur membawa makna yang lebih luas daripada sebuah acara meraikan ulang tahun.

Program ini menjadi ruang untuk menilai kembali benih pemikiran dan perjuangan yang telah disemai oleh ketiga-tiga tokoh, khususnya dalam memperjuangkan hak golongan terpinggir, mengembangkan kesenian dan kesusasteraan serta membina masyarakat yang lebih adil.

Sejarah perjuangan mereka juga mengemukakan persoalan kepada generasi hari ini: sejauh manakah nilai dan gagasan yang diwariskan itu akan diteruskan?

Dalam masyarakat yang terus berubah, kesinambungan perjuangan tidak hanya bergantung pada tokoh yang diraikan, tetapi juga pada kesediaan generasi baharu untuk memahami sejarah, mengkritik keadaan semasa dan membawa gagasan tersebut ke hadapan.

Pertemuan yang berlangsung dalam suasana sederhana dan akrab itu akhirnya menjadi tanda penghargaan terhadap kehidupan yang telah dicurahkan kepada ilmu, seni dan masyarakat.

Seperti benih yang tumbuh mengikut musimnya, hasil perjuangan seseorang mungkin mengambil masa yang panjang untuk terlihat.

Namun, selagi pemikiran dan nilai yang ditinggalkan terus diperkatakan serta diamalkan, legasi itu akan terus hidup melampaui usia pengasasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *