Wayang Kulit Kelantan bakal terima pengiktirafan UNESCO Disember ini

Wayangkulitkelantanjkkn

Kredit foto: JKKN.

KOTA BHARU — Seni persembahan Wayang Kulit Kelantan bakal melakar satu lagi pencapaian dalam usaha mengangkat warisan budaya tempatan ke persada antarabangsa apabila dijadualkan menerima pengiktirafan sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2 Disember ini.

Pengiktirafan berkenaan akan disampaikan secara rasmi di Xiamen, China, sekali gus menyusuli kejayaan seni persembahan mak yung yang terlebih dahulu mendapat pengiktirafan badan dunia itu sebagai warisan budaya tidak ketara.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Kamarudin Md Nor berkata, perkembangan tersebut mencerminkan kejayaan usaha berterusan Kerajaan Negeri Kelantan bersama Jabatan Warisan Negara dalam memperkenalkan khazanah seni dan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, semalam.

“Pencapaian bersejarah berkenaan merupakan manifestasi kejayaan berterusan kerajaan negeri bersama Jabatan Warisan Negara dalam menduniakan warisan seni budaya tempatan selepas pengiktirafan seni mak yung sebelum ini,” katanya.

Menurut Kamarudin, pengiktirafan berkenaan bukan sahaja mengangkat keistimewaan Wayang Kulit Kelantan sebagai seni persembahan tradisional, malah menjadi satu lagi pencapaian dalam usaha memperluas pengiktirafan terhadap warisan budaya negeri.

“Keberhasilan ini menjadi batu tanda baharu bagi usaha berterusan kita memperkenalkan produk kebudayaan tempatan ke pentas antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembangunan sektor kebudayaan dan kesenian perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh identiti negeri serta merancakkan industri pelancongan.

Hal ini kerana warisan seni tradisional mempunyai nilai tersendiri sebagai tarikan pelancongan yang membezakan Kelantan daripada destinasi lain, selain menjadi medium untuk memperkenalkan sejarah, nilai dan tradisi masyarakat tempatan kepada pengunjung.

“Sumbangan kebudayaan dan kesenian tidak kurang pentingnya kerana seni warisan inilah yang menjadi tunjang sokongan utama dalam memajukan industri pelancongan negeri,” katanya.

Pengiktirafan UNESCO yang bakal diterima itu diharapkan dapat memperluas ruang pemeliharaan dan pengembangan seni Wayang Kulit Kelantan, khususnya dalam memastikan kesinambungan warisan berkenaan kepada generasi akan datang.

Pada masa yang sama, pengiktirafan tersebut membuka peluang lebih besar untuk seni persembahan tradisional Kelantan diperkenalkan kepada khalayak antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan kebudayaan sebagai salah satu aset penting pembangunan pelancongan negeri.

Terdahulu, Wayang Kulit Kelantan telah digazetkan sebagai Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara di bawah kategori Objek Warisan Tidak Ketara pada 2009.

  • Ashraf Ali

    Ashraf Ali, wartawan Titik Baca yang menumpukan liputan sastera, budaya dan seni. Penulisannya memberi perhatian kepada perkembangan semasa, isu penerbitan, acara budaya serta kenyataan rasmi yang berkaitan dunia kreatif tempatan.

    Dengan pendekatan pelaporan yang ringkas dan berfakta, Ashraf Ali menekankan kejelasan maklumat, konteks dan ketepatan sumber, selari dengan peranan Titik Baca sebagai portal media budaya. Ashraf boleh dihubungi melalui ashrafali@titikbaca.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *