KUALA LUMPUR — Bekas Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron disarankan untuk terus memegang jawatan sekurang-kurangnya enam bulan lagi atau satu penggal tambahan bagi memastikan kelancaran persiapan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026) dan kesinambungan program industri buku negara, kata dua tokoh industri buku tempatan.
Ahli Jawatankuasa Jemputan PBAKL 2025, Ahmad Saifuddin Amran berkata, walaupun pada awalnya kepimpinan Mohd Khair menghadapi pelbagai isu dan kontroversi, beliau berjaya menyelesaikan masalah tersebut dan memperkenalkan reformasi penting, termasuk sistem tempahan reruai secara dalam talian untuk PBAKL.
“Secara umum, walaupun terdapat isu pada peringkat awal, alhamdulillah beliau berjaya membuat penyelesaian dan reformasi yang memberi kesan positif. Contohnya, sistem tempahan reruai online telah diperkenalkan dan kini tiada lagi tempahan awal yang membingungkan; tarikh yang ditetapkan memang menjadi tarikh sebenar. Itu satu reformasi yang baik. Mohd Khair meninggalkan legasi yang sukar dilupakan,” katanya ketika ditemui Titik Baca pada Jumaat.
Ahmad Saifuddin menambah, sekiranya kontrak Mohd Khair tidak disambung, penggantinya sebenarnya akan menerima tugas yang sudah banyak disiapkan, termasuk pengurusan PBAKL dan perkembangan Perbadanan Kota Buku (PKB), namun cabaran pengantarabangsaan karya tempatan masih memerlukan kepakaran baru.
Sementara itu, Nabieh Rahmat pula menekankan kepentingan mengekalkan kepimpinan Mohd Khair pada tempoh kritikal ini kerana penganjuran PBAKL pada hujung Mei dan Kongres Penerbit Antarabangsa kali ke-35 pada Julai yang bakal berlangsung di negara ini.
“Mohd Khair telah banyak berjasa kepada industri, tetapi bukan kerana jasa semata-mata beliau perlu disambung. Tempoh ini kritikal. Jika kita mengambil pengarah baru yang bukan dari kalangan industri atau tidak selari dengan perancangan sedia ada, kita bimbang momentum yang sedang dibina akan hilang.
Oleh itu, kami mencadangkan agar beliau diberi satu penggal tambahan atau sekurang-kurangnya enam bulan supaya persiapan penting ini dapat diselesaikan. Selepas itu, jawatan boleh dibuka kepada individu lain dari industri,” katanya.
Sebelum ini, Mohd Khair mengumumkan tamatnya tempoh perkhidmatannya sebagai Pengarah MBKM selepas enam tahun menerajui institusi berkenaan. Dalam satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan kontrak penggal ketiganya berakhir semalam, serentak dengan genap enam tahun kepimpinannya.












