MOTAC gempur ejen pelancongan haram di Sabah

Logomotac

KUALA LUMPUR, — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melancarkan operasi penguatkuasaan bersepadu di Sabah pada 9 dan 10 April lalu bagi membanteras aktiviti pelancongan tidak berlesen serta penyalahgunaan lesen dalam industri tersebut.

Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) itu tertumpu di beberapa lokasi utama termasuk Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna.

Menurut MOTAC, operasi berkenaan merupakan hasil risikan selama beberapa bulan dengan fokus terhadap pelbagai kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 dan Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Operasi bersasar ini adalah hasil aktiviti risikan selama beberapa bulan dan memberi fokus kepada kesalahan yang boleh disabitkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482], Akta Cukai Pendapatan 1967 [Akta 53] dan lain-lain perundangan berkaitan,” menurut kenyataan tersebut pada Selasa.

Sepanjang operasi, sebanyak 13 premis perniagaan dan 11 individu telah diperiksa.

Hasilnya, tujuh notis pemeriksaan dikeluarkan oleh pihak penguat kuasa MOTAC, termasuk dua notis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dan dua notis kerana berurus niaga dengan entiti tidak berlesen.

Dalam kenyataan sama, MOTAC menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

“MOTAC memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang tidak berlesen untuk tidak menyediakan perkhidmatan pelancongan meliputi pengangkutan, penginapan atau penganjuran aktiviti pelancongan sama ada secara dalam talian, media sosial, fizikal atau melalui medium lain,” jelas kenyataan itu.

Tambah MOTAC, pesalah boleh dikenakan hukuman berat jika disabitkan kesalahan.

“Jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM500,000.00 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya di bawah Akta 482,” menurut kenyataan tersebut lagi.

Pada masa sama, kementerian itu turut mengingatkan penggiat industri pelancongan berlesen supaya tidak berurusan dengan pihak tidak sah demi menjaga keselamatan pelancong dan integriti industri.

“MOTAC tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan pelancong, dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya berlaku sebarang insiden atau pelanggaran peraturan,” tegas kenyataan berkenaan.

MOTAC turut memaklumkan bahawa penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan melalui kerjasama rentas agensi selaras dengan prinsip Malaysia Madani, di samping menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Kementerian itu menegaskan komitmennya untuk memastikan industri pelancongan negara kekal mampan, selamat dan berdaya saing di peringkat global.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *