KUALA LUMPUR — Selepas lebih enam bulan dibuka secara percuma kepada orang ramai, Seri Negara kini mengenakan bayaran masuk bagi mengunjungi galeri pamerannya di Tingkat 1 bermula hari ini.
Dalam satu kenyataan semalam, pihak pengurusan Seri Negara memaklumkan bahawa sejak pintunya dibuka kepada umum pada Disember tahun lalu, lebih 25,000 pengunjung telah mengunjungi mercu tanda bersejarah tersebut.
Menurut kenyataan itu, pihak pengurusan merakamkan penghargaan kepada para pengunjung yang telah membantu menghidupkan semula tapak warisan berkenaan melalui kunjungan dan perkongsian pengalaman mereka.
“Sejak pintu kami dibuka pada Disember lalu, kami berbesar hati menyambut lebih 25,000 pengunjung ke mercu tanda bersejarah ini. Terima kasih kerana sudi menyusuri ruang-ruang kami, berkongsi cerita anda, dan menghidupkan semula tapak warisan ini,” menurut kenyataan tersebut.
Walaupun bayaran kini dikenakan untuk memasuki galeri pameran kurasi di Tingkat 1, kawasan awam sekitar Seri Negara termasuk taman, Ruang Merdeka yang menempatkan Galeri Khazanah, serta premis makanan dan minuman masih boleh dikunjungi secara percuma.
Pengunjung yang ingin melawat galeri pameran perlu mendapatkan tiket melalui laman sesawang rasmi Seri Negara.
Bagi kategori dewasa berusia 18 tahun ke atas, bayaran yang dikenakan ialah RM12 untuk lawatan berpandu dan RM8 bagi lawatan kendiri.
Remaja berusia 13 hingga 17 tahun dikenakan RM8 untuk lawatan berpandu dan RM6 bagi lawatan kendiri, manakala kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun dikenakan RM6 dan RM4 masing-masing.
Kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah masih menikmati kemasukan percuma.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif akses budaya dan warisan, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan serta ahli isi rumah berdaftar mereka layak menerima kemasukan percuma sekali setahun ke galeri pameran Seri Negara.
Kemudahan tersebut ditaja sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Berhad.
Seri Negara yang dahulunya merupakan kediaman rasmi beberapa pemimpin negara kini dibuka kepada orang ramai sebagai ruang warisan dan kebudayaan yang menampilkan pelbagai kisah sejarah, pameran kurasi serta pengalaman pendidikan kepada pengunjung.
Pihak pengurusan berharap orang ramai akan terus berkunjung untuk meneroka sejarah, warisan dan pengalaman yang menjadikan Seri Negara sebuah destinasi bersejarah yang istimewa.












