KUALA LUMPUR — Rujukan terhadap karya-karya agung klasik dan penulisan sarjana Barat kontemporari menjadi kekuatan utama dalam Syarahan Perdana bertajuk “Madani Nabawi: Mesej Peradaban daripada Peristiwa Hijrah” yang disampaikan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar hari ini.
Dalam syarahan tersebut, beliau menghubungkan konsep masyarakat Madani dengan kitab masyhur abad ke-10 karya ahli fikir Islam al-Farabi, al-Madinah al-Fadilah (Kota Terpuji).
Menurut Osman, ciri-ciri Kota Sempurna yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW di Madinah telah dijelaskan maknanya secara mendalam dalam karya al-Farabi tersebut, termasuklah kriteria masyarakat yang memakmurkan kebaikan dan memperkasa keimanan.
Beliau turut memetik buku berpengaruh tulisan ahli astrofizik Amerika Michael Hart, The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History.
Rujukan ini digunakan bagi membuktikan pengiktirafan dunia terhadap kepimpinan Nabi Muhammad SAW sebagai satu-satunya tokoh dalam sejarah yang mencapai kejayaan luar biasa di kedua-dua peringkat keagamaan dan sekular.
Selain itu, Osman menarik perhatian hadirin dengan membincangkan buku terbaru profesor sejarah Islam John V. Tolan, Faces of Muhammad: Western Perceptions of the Prophet of Islam from the Middle Ages to Today.
Beliau memetik perbincangan dalam buku tersebut mengenai kekaguman pemimpin dunia seperti Napoleon Bonaparte terhadap model kepimpinan Baginda Rasulullah SAW.
Terdahulu, dalam ucapan perasmian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, turut memberi penghormatan kepada sumbangan penulisan Osman sendiri.
Beliau merujuk kepada buku Prof. Syed Khairuddin al-Junaid, Shapers of Islam in Southeast Asia yang menyenaraikan Osman sebagai salah seorang tokoh utama yang membentuk pemikiran Islam di Asia Tenggara.
Sebagai seorang ilmuwan ulong, Osman Bakar telah menghasilkan puluhan buku dan ratusan artikel akademik yang diterbitkan di peringkat antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan beliau sebagai antara 500 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia.
Penggunaan pelbagai rujukan buku dalam syarahan beliau hari ini mencerminkan kedalaman ilmu dan visi peradaban yang dibawa oleh Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan 1448H ini.













