Kritikan filem bukan sekadar “kutuk”, tetapi penentu hayat karya

Daniyalkadirampfkl11

SHAH ALAM — Kritikan filem bukan sekadar aktiviti menghukum atau memberi rating bintang, sebaliknya ia merupakan elemen penting dalam mematangkan ekosistem sinema sesebuah negara.

Demikian antara inti pati perkongsian Daniyal Kadir dalam sesi bertajuk “Pasca Wayang: Kritikan Filem di Malaysia” yang berlangsung di Kafe Tiga Belas, Shah Alam, petang semalam.

Program yang menjadi pengisian utama Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur ke-11 ini mengumpulkan peminat filem dan penggiat industri untuk memahami peranan sebenar kritikan dalam mendepani cabaran sinema era digital.

Membezakan kritikan dan ulasan

Menurut Daniyal, terdapat kekeliruan yang ketara antara “ulasan” (review) dan “kritikan”.

Beliau menjelaskan bahawa ulasan bersifat deskriptif yang bertujuan memperkenalkan plot kepada penonton, manakala kritikan bersifat analitikal yang mendalami tema, falsafah, dan menggunakan teori perfileman.

“Kritikan biasanya bersifat objektif dan tidak memerlukan rating bintang kerana ia mengandaikan pembaca sudah menonton karya tersebut,” jelas beliau.

Beliau turut menekankan kepentingan menggabungkan pandangan tokoh seperti André Bazin (melihat filem sebagai jendela realiti) dan Susan Sontag (menghargai estetika dan bentuk filem) untuk menghasilkan tulisan yang lebih bermakna.

Empat fungsi utama kritikan

Daniyal menggariskan empat fungsi asas kritikan yang sering terlepas pandang dalam industri tempatan:

  1. Menukar pengalaman kepada pemikiran: Membantu penonton memproses kesan emosi selepas menonton.
  2. Membina kesedaran penonton: Mendatangkan pengetahuan dan kefahaman yang lebih jelas tentang kualiti sesebuah filem.
  3. Penciptaan memori budaya (cultural memory): Membantu memahami tradisi dan identiti sinema kebangsaan.
  4. Memanjangkan hayat filem: Memastikan sesebuah karya terus relevan dan dibincangkan melampaui tempoh tayangan di panggung.

Cabaran sinema Malaysia: Nostalgia dan pengakiban

Dalam kupasannya mengenai sejarah sinema tempatan, Daniyal menyentuh mengenai “perangkap nostalgia” yang menghantui budaya filem di Malaysia.

Beliau menyatakan wujudnya ketakutan untuk mengkritik karya-karya klasik seperti filem P. Ramlee secara jujur bagi tujuan pembelajaran.

“Kita sangat terikat dengan nostalgia. Sepatutnya kita berani membedah mana yang buruk dan mana yang baik untuk kemajuan industri,” katanya sambil menambah bahawa kelemahan sistem pengakiban filem di Malaysia turut menyukarkan pengesanan tradisi kritikan yang kukuh.

Kritikan sebagai rakan ekosistem

Daniyal turut menyeru agar pembikin filem tidak melihat pengkritik sebagai musuh.

Beliau mengambil contoh industri filem di India yang mengiktiraf pengkritik melalui kategori khas dalam anugerah kebangsaan mereka.

“Apabila pembikin filem sudah mengeluarkan karya ke publik, karya itu milik publik untuk direspon. Kritikan yang baik bukan untuk mendikte pengarah, tetapi untuk mendatangkan pengetahuan baru kepada masyarakat,” tegas beliau mengakhiri sesi tersebut.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *