KUALA LUMPUR — Persoalan mengenai kedudukan novel popular dalam neraca sastera sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pembaca dan penulis.
Menjelaskan perkara ini, Penerima Anugerah Sasterawan Muda MASTERA 2023, Lutfi Ishak menegaskan bahawa perbezaan utama terletak pada nilai ilmu dan pengalaman berharga yang dibawa oleh sesebuah karya, bukannya sekadar populariti atau bahasa yang berbunga-bunga.
Menurut Lutfi, tradisi sastera Melayu yang sempurna telah wujud sejak abad ke-17 melalui tokoh seperti Hamzah Fansuri yang menekankan elemen ilmu dalam setiap penulisannya.
Beliau menjelaskan bahawa sastera mempunyai tahapnya yang tersendiri.
“Sastera yang paling bagus, yang sempurna ni biasanya dia menghiburkan dan dia dalamnya terkandung pengalaman yang amat berharga,” jelasnya dalam satu siri audio siar terbitan Grup Buku Karangkraf baru-baru ini.
Sebaliknya, karya yang hanya berfungsi sebagai hiburan emosi semata-mata dianggap berada pada tahap yang paling bawah.
Lutfi turut membidas tanggapan bahawa sastera mestilah menggunakan bahasa yang sukar difahami.
Beliau memberikan contoh keindahan pantun Melayu yang menggunakan bahasa mudah tetapi mempunyai maksud yang sangat mendalam.
“Sudah puas ku tanam ubi, nenas juga dia pandang orang. Sudah puas ku tanam budi, emas juga dia pandang orang,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa nenas (harta/emas) adalah buah yang nampak di luar, manakala ubi (budi baik) tersembunyi di dalam tanah.
“Tak semua karya yang sukar berkualiti sepertimana tak semua sastera yang mudah dalam bahasa yang ringkas tak berkualiti,” tegas beliau bagi membetulkan stigma “elitis” bahasa dalam sastera.
Beliau turut mengingatkan penulis komersial agar tidak terkeliru dengan dengan pembahagian karya.
“Jangan pula penulis tu dia tahu dia menulis karya dia sekadar untuk hiburan… tapi dia nak karya dia tu diangkat sebagai karya sastera yang lebih tinggi,” tegurnya.













