KUALA LUMPUR — Kriteria pemilihan Sasterawan Negara perlu mengalami anjakan paradigma bagi memastikan tokoh yang dipilih mampu memberi impak aktif kepada masyarakat ketika mereka masih di puncak produktiviti.
Penerima Anugerah Sasterawan Muda MASTERA 2023, Lutfi Ishak secara terbuka menyarankan agar pengiktirafan ini diberikan kepada penulis yang masih cergas dan konsisten dalam berkarya.
Beliau menyuarakan keresahannya terhadap kecenderungan memberikan anugerah tertinggi itu kepada tokoh yang sudah terlalu berusia.
“Kalau kita nak mereka lebih banyak aktif di lapangan, maka perlulah dilakukan sesuatu agar sasterawan negara ni diberikan pada usia yang lebih muda. Bukan tunggu dah bertongkat baru nak bagi”, cadangnya dalam satu siri audio siar terbitan Grup Buku Karangkraf baru-baru ini.
Beliau menamakan tokoh seperti Zaen Kasturi yang telah menulis secara konsisten sejak tahun 80-an dan S.M. Zakir sebagai calon yang layak dipertimbangkan kerana sumbangan besar mereka yang masih relevan dan bertenaga.
Menyentuh peranan Sasterawan Negara sebagai duta sastera, Lutfi berpendapat bahawa penghasilan karya bermutu tinggi itu sendiri adalah satu bentuk khidmat kepada rakyat.
Beliau memetik contoh karya Risalah untuk Kaum Muslimin oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas yang walaupun tidak “merakyat” dengan turun ke padang, karyanya tetap memberi kesan besar kepada keluhuran fikiran bangsa.
“Yang akan diingat bukan tokohnya (penulis), bukan berapa banyak dia turun berjumpa individu rakyat tertentu. Tapi sumbangan dia dalam perkembangan sastera tu, karya dia tu telah menyebabkan bahasa Melayu tak dilupakan,” katanya.













