KUALA LUMPUR — Jurang antara penulis sastera dan komersial bukan sahaja disebabkan oleh perbezaan gaya penulisan, tetapi juga akibat “tembok” prejudis dan keengganan untuk keluar daripada kelompok masing-masing.
Lutfi Ishak mendedahkan bahawa ramai penulis hari ini lebih selesa hidup dalam “kampung masing-masing” tanpa keinginan untuk memecahkan tembok pemisah tersebut.
Lutfi yang juga Penerima Anugerah Sasterawan Muda MASTERA 2023 mengkritik budaya “hyperpolitik” di media sosial di mana penulis muda sangat aktif menyuarakan pandangan tetapi kesannya bersifat sementara dan berserakan.
“Mereka aktif menyuarakan pandangan tapi pandangan mereka ni scattered sebab disuarakan dalam media sosial… tapi dia macam angin lalu. Tak memberikan kesan dan bekas yang besar kepada polisi mereka,” ulas beliau dalam satu siri audio siar terbitan Grup Buku Karangkraf baru-baru ini.
Beliau menekankan bahawa suara individu tidak cukup kuat untuk mengubah dasar kerajaan, sebaliknya penulis memerlukan persatuan yang rasmi sebagai third force atau kuasa ketiga.
Beliau membuktikan keberkesanan tindakan kolektif melalui pengalaman penganjuran Perhimpunan Penulis Muda Nasional yang berjaya mendesak kerajaan memperuntukkan dana RM5 juta untuk pembangunan penulis muda melalui ITBM.
Selain itu, beliau berkongsi usaha Biro Penulis Muda PENA yang cuba meruntuhkan stigma “elitis” dengan membawa perbincangan buku keluar dari premis rasmi ke kafe-kafe melalui program Borak Buku.
“Kita boleh sahaja tidak bersetuju untuk perkara yang memang kita tak bersetuju dengan syarat kita ada asasnya… tapi yang paling penting adalah boleh saja ajak berkawan minum kopi,” pesannya kepada penulis demi kemajuan industri buku negara.













