KUALA LUMPUR — Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melancarkan Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) dengan membawa tema “Spektrum Sinema”, sebagai simbol penghargaan terhadap kepelbagaian wajah industri perfileman negara yang terus berkembang seiring perubahan zaman.
Pelancaran festival itu diumumkan semalam oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil, dalam satu sidang media yang turut dihadiri Pengerusi FINAS, Dato’ Dr. Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib; serta Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas Malaysia, Koh Mei Lee.
Bertemakan “Spektrum Sinema”, edisi ke-35 Festival Filem Malaysia mengetengahkan aspirasi untuk meraikan keluasan ekspresi seni dalam perfileman Malaysia yang merangkumi pelbagai genre, budaya, bahasa, perspektif, teknologi serta generasi pembikin filem.
Tema tersebut diilhamkan daripada spektrum cahaya yang menghimpunkan pelbagai warna menjadi satu sinaran yang indah, melambangkan bagaimana industri filem negara berkembang melalui gabungan idea, bakat dan kreativiti yang pelbagai sehingga membentuk identiti sinema Malaysia.
Selain mencerminkan kepelbagaian, tema itu turut menggambarkan evolusi industri perfileman tempatan yang semakin dinamik dalam mendepani perubahan teknologi, corak penceritaan dan perkembangan platform kandungan, tanpa mengabaikan nilai budaya serta jati diri yang menjadi asas pembangunan industri kreatif negara.
Sebagai pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap kecemerlangan filem dan bakat kreatif tempatan, Festival Filem Malaysia terus memainkan peranan penting dalam menghargai pencapaian industri, meningkatkan mutu dan profesionalisme penerbitan filem, membudayakan filem sebagai medium perpaduan dan identiti nasional, selain merangsang pertumbuhan industri kreatif negara.
Bagi edisi kali ini, FINAS membuka penyertaan kepada semua penerbit dan penggiat industri yang layak bermula 29 Julai hingga 11 Ogos 2026.
Sebanyak 30 kategori dipertandingkan meliputi kategori utama, teknikal dan kreativiti, termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Dokumentari Terbaik, Filem Pendek Terbaik serta beberapa anugerah khas termasuk Anugerah Khas Karyawan, Anugerah Khas Sepanjang Zaman dan Anugerah Khas Filem Box Office.
Kemuncak FFM35 bakal mencipta sejarah apabila Malam Anugerah Festival Filem Malaysia Ke-35 akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 21 November 2026, sekali gus menjadi acara pertama dianjurkan di venue berprestij itu selepas selesai menjalani kerja-kerja naik taraf.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi diberi kepercayaan sebagai penyiar rasmi festival tersebut.
Borang penyertaan boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi FINAS dan Festival Filem Malaysia, manakala pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Penyertaan dan Penjurian FFM35 melalui e-mel atau talian yang disediakan oleh pihak penganjur.












