Luka dan lebam daripada Tarung: Unforgiven (2026) membirat agak lama dalam benak saya, memaksa tulisan ini untuk dikerjakan juga.
Menggunakan perkataan tarung sebagai tajuk, mendatangkan satu idea kepada penonton bahawa ini adalah sebuah filem aksi penuh tinju dan sepak terajang.
Dan saya tidak kecewa kerana walaupun dengan plot yang straight forward dan pengakhiran yang boleh dijangka, aksi dan pertarungan dalam filem ini sangat mengujakan. (Tidak termasuk fizikal pelakon yang ranum.)
Antara pertarungan terawal yang dipertontonkan dalam Tarung adalah ketika Isa melawan ahli Marga yang mahu melanggar rukun Marga. (Sebenarnya lebih kepada pembantaian).
Kemudian penonton dibawa lagi ke dalam pertarungan demi pertarungan di gelanggang antara Isa, Hatta, juga petarung-petarung paduka lain. Turut dipertontonkan pertarungan jalanan antara Hatta dan Ucop vs samseng-samseng flat. Kemudian Hatta dan Ucop vs konco-konco Khalid.
Semua pertarungan itu mengepam adrenalin ke dalam tubuh saya. Mendatangkan perasaan teruja dan terasa mahu bergocoh walaupun saya bukanlah seorang petarung.
Namun di sebalik pertarungan-pertarungan fizikal yang dipertontonkan, wujud juga pertarungan lain.
Pertarungan dalam Tarung bukan sahaja wujud dalam gelanggang dan di jalanan. Bukan sahaja pertarungan adu tinju dan sepak antara lelaki, tetapi Tarung juga memaparkan pertarungan-pertarungan watak dengan dilema masing-masing dan keadaan sekeliling.
Pertarungan internal pertama yang dapat dilihat adalah antara Hatta dengan trauma masa lalunya. Berulang kali ditayangkan episod lampau di mana Hatta dengan tidak sengaja telah membunuh Idris dalam satu perlawanan silat.
Peristiwa hitam tersebut mendatangkan kesan psikologi yang berat kepada Hatta sehingga buat beberapa tahun, Hatta tidak mampu bertarung di dalam gelanggang.
Buat separuh pertama filem, kita lihat Hatta yang kalah, dibantai teruk oleh traumanya. Sengat seorang Hatta hilang oleh tinju trauma yang lebih gagah.
Namun oleh desakan keadaan, dengan ekonomi yang membarah dan kakaknya yang sakit, Hatta tiada pilihan selain bangkit dan memberikan satu uppercut ke rahang trauma. Kita lihat di sepertiga filem, Hatta sudah bangkit melawan trauma yang membelenggunya selama ini.
Selain Hatta, Isa juga bergelut dengan pertarungan internal daripada peristiwa hitam yang sama. Jika Hatta melawan trauma dan rasa bersalah, Isa pula bertarung melawan dendam yang menanah dalam hatinya.
Pertemuan dengan Hatta membakar semula dendam itu. Menjadi bahan bakar yang menggerakkan Isa sebagai petarung paling gagah dalam gelanggang tarung.
Namun berbeza pula dengan gelanggang dalam diri Isa, dia sedang dibantai teruk oleh dendamnya. Hatta yang juga merupakan teman sepengajian silat, tidak lagi dipandang saudara. Sebaliknya hanya sebagai wadah melunaskan dendam.
Hingga saat akhir perlawanan Isa dan Hatta, ketika Isa sudah di ambang kekalahan, kita juga lihat dirinya yang sedang memenangi perlawanan melawan dendamnya. Hatta bukan lagi lawan tempatnya melunaskan dendam.
Isa juga ingat kembali tujuan utamanya, iaitu demi menjatuhkan Khalid. Walaupun Isa akhirnya tewas di tangan Hatta, dia juga menang melawan dendamnya.
Pertarungan internal ini selain menjalankan cerita agar tidak terlihat kosong, turut menambahkan kedalaman watak Hatta dan Isa sebagai seorang petarung.
Selain dua orang jejaka petarung ini, kita juga boleh lihat petarung wanita yang berlawan di luar gelanggang.
Berbeza dengan Hatta dan Isa, pada permulaan cerita, Aisha terlihat seperti memenangi pertarungannya walaupun agak parah.
Pertarungan Aisha bukan melawan manusia sebaliknya melawan situasi dan keadaan. Seorang ibu tunggal dan seorang kakak yang menyara anak dan adiknya.
Aisha menggagahkan diri dalam pertarungan sengitnya melawan takdir. Dengan adik yang menghidapi trauma, anak yang perlukan perhatian dan hidup yang tidak senang, Aisha kekal berdiri gagah menerima tinju takdir. Namun sekuat-kuat Aisha, akhirnya tewas jua oleh perasaan seorang wanita yang lembut.
Tidak cukup dengan itu, belum pun lukanya sembuh, pertarungan seterusnya bermula antara Aisha dengan penyakit.
Pertarungan Aisha, tidak boleh tidak, perlu diteruskan Hatta. Selepas lelah, Hattalah yang menepuk tangan Aisha berganti giliran melawan pencak tarung takdir.
Setelah sekian lama terperosok oleh trauma, Hatta bangkit bertarung melawan takdir semampu dayanya.
Menerima wang daripada Badrul dan memasuki gelanggang tarung merupakan satu tumbukan sauk daripada Hatta kepada takdir. Yang membolehkannya meneruskan hidup dengan lebih selesa.
Selain Aisha, Dahlia juga menampakkan dirinya sebagai seorang petarung wanita. Menjadi orang bawahan Badrul merupakan satu halangan buat cintanya kepada Isa. Namun Dahlia dengan buku lima cintanya, rela melawan segala risiko demi Isa.
Kita lihat ketakutan berkocak di mata Dahlia ketika hampir terbongkar rahsianya bersama Isa. Juga ketakutan ketika jarinya hampir saja dikerat putus. Kita tahu Dahlia masih gentar, tapi perlawanan perlu disudahkan. Dan hasilnya, tidaklah sia-sia.
Selain melawan risiko, Dahlia juga turut berpencak dengan ego Isa yang dibakar dendam. Berulang kali diberitahu kepada teman lelakinya, tentang matlamat menjatuhkan Khalid.
Mungkin yang tidak pernah kalah dalam Tarung hanya Dahlia. Dia memenangi hati Isa sedari awal cerita dan turut kembali memenangi hati Badrul di akhirnya.
Daripada pertarungan-pertarungan ini, dapat dilihat bahawa Tarung bukan sahaja sebuah filem yang membawa aksi dan sepak terajang buat penonton.
Malah turut menjadikan pertarungan internal dan eksternal sebagai sebuah kisah yang patut direnungi. Bahawa setiap manusia adalah petarung di gelanggang hidup masing-masing.
Saya akan terus menantikan Tarung yang seterusnya. Dengan harapan ia datang dengan lebih banyak aksi dan konflik dalaman yang membirat di benak dengan lebih dalam.













