KOTA KINABALU — Selepas hampir sehari mengundang tanda tanya dan membuatkan ramai menitipkan ucapan takziah, misteri kononnya seorang penulis muda dari Sabah meninggal dunia akhirnya terungkai.
Lebih mengejutkan, wanita yang disangka sudah meninggal dunia itu sebenarnya masih hidup, malah menurut ahli keluarganya, dia baru sahaja keluar rumah mengambil angin ketika beberapa penulis Sabah datang mendapatkan kepastian.
Kisah itu bermula pada petang Sabtu apabila satu hantaran dimuat naik di akaun Facebook milik penulis berkenaan yang mendakwa dia sudah menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.51 pagi.
“Innalillahiwainnailaihirajiun. Dukacita dimaklumkan, pemilik akaun ini… telah pun menghembuskan nafas yang terakhir pada pukul 10.51 pagi tadi,” menurut hantaran itu.
Hantaran sama turut memaklumkan akaun Facebook tersebut akan ditutup dalam tempoh 24 jam atas permintaan keluarga.
Sejurus selepas itu, ruangan komen dibanjiri ucapan takziah daripada kenalan dan pembaca yang menyangka berita itu benar.
Namun, keadaan mula menimbulkan syak apabila beberapa individu bertanyakan lokasi solat jenazah dan pengebumian, tetapi tiada sebarang maklum balas diberikan.
Lebih menghairankan, ada pengguna media sosial mendakwa mereka disekat daripada akaun berkenaan selepas mengemukakan soalan tersebut.
Belum reda persoalan itu, kira-kira dua jam kemudian muncul pula satu lagi hantaran yang mengundang lebih banyak tanda tanya.
Dalam hantaran itu, individu yang mengaku sebagai adik kepada penulis berkenaan merayu orang ramai membeli e-buku hasil tulisan “arwah” sebagai tanda sokongan terakhir.
“Yang kenal dengan arwah kakak kami, sokonglah e-booknya sebab lepas ini tiada sudah kami baca-baca penulisanmu,” tulisnya.
Hantaran itu turut disertakan kod QR pembayaran yang dikatakan menggunakan akaun bank atas nama penulis tersebut.
Tidak lama kemudian, akaun Facebook berkenaan dinyahaktifkan, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi sama ada kematian itu benar-benar berlaku atau sekadar satu sandiwara.
Persoalan itu akhirnya terjawab petang tadi apabila dua penulis Sabah, Rita Robert Rawantas dan Ruhaini Matdarin, tampil mendapatkan pengesahan daripada keluarga wanita tersebut.
Menurut Rita menerusi hantaran di Facebook, mereka telah menemui kakak kandung penulis itu di kediaman keluarganya di Lok Kawi.
Katanya, kakak wanita berkenaan mengesahkan adiknya berada dalam keadaan selamat dan tidak pernah meninggal dunia.
“Kami telah berjumpa dengan kakak kandung sulung Nursyafiqah Roslan. Dengan izin, kakaknya mengesahkan adiknya selamat dan baik-baik saja. Alhamdulillah,” tulisnya.
Menurut Rita lagi, kakak penulis itu turut menafikan dakwaan tular kononnya adiknya menghidap 10 penyakit kronik, berada dalam keadaan kritikal atau dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Sebaliknya, wanita berkenaan dikatakan sedang menjalani rawatan berkaitan keadaan kesihatan mentalnya yang tidak stabil sejak kebelakangan ini.
Lebih mengejutkan, ahli keluarga sendiri dikatakan tidak mengetahui langsung mengenai hantaran palsu yang mengumumkan kematian tersebut.
Malah, mereka hanya menyedari kekecohan itu selepas melihat perkongsian dan tangkap layar yang tular di media sosial.
Dalam hantaran sama, Rita turut mendedahkan satu perkara yang menjadi perhatian ramai.
“Sewaktu kami tiba di kediaman beliau, Nursyafiqah baru saja keluar rumah mengambil angin. Tiada gambar dikongsikan bagi menghormati privasi keluarga.”
Pendedahan itu sekali gus menamatkan teka-teki yang menggemparkan komuniti penulis dan pembaca sejak Sabtu.
Setakat ini masih belum diketahui siapakah individu yang memuat naik pengumuman kematian tersebut, termasuk hantaran yang mempromosikan jualan e-buku menggunakan kod QR pembayaran, selain motif sebenar di sebalik tindakan berkenaan.
Insiden itu turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan warga maya mengenai bahaya penyebaran berita kematian palsu, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan simpati orang ramai dan urusan kewangan.













