Osman Bakar terima Darjah SSAP, bergelar Dato’ Sri

Osmanbakardatukseri

Kredit foto: Media Kesultanan Pahang.

KUANTAN — Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Dato’ Sri Dr. Osman Bakar dianugerahkan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia – Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang bagi memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Ke-67.

Pengurniaan tersebut disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dalam istiadat yang berlangsung di Istana Abdulaziz, Kuantan pada 1 Ogos lalu.

Osman merupakan antara 16 individu yang menerima darjah kebesaran SSAP pada istiadat berkenaan.

Turut tersenarai sebagai penerima ialah beberapa tokoh daripada pelbagai bidang termasuk pentadbiran kerajaan, ketenteraan, akademik dan sektor korporat.

Sebagai seorang sarjana Islam bertaraf antarabangsa, Osman dikenali atas sumbangan besarnya dalam bidang falsafah Islam, dialog antara tamadun, pemikiran kontemporari dan pendidikan tinggi.

Beliau kini menerajui UIAM sebagai rektor serta aktif menghasilkan penulisan ilmiah yang menjadi rujukan di dalam dan luar negara.

Sepanjang kerjayanya, Osman telah berkhidmat di beberapa institusi pengajian tinggi terkemuka dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh wacana intelektual Islam di peringkat global.

Beliau juga sering dijemput menyampaikan syarahan, menjadi panel persidangan antarabangsa serta terlibat dalam pelbagai inisiatif yang mempromosikan keharmonian antara agama dan tamadun.

Penganugerahan darjah kebesaran itu dilihat sebagai pengiktirafan terhadap jasa serta sumbangan berterusan beliau dalam memartabatkan keilmuan, pendidikan dan pemikiran Islam, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Pada istiadat sama, Ketua Hakim Negara, YAA Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh menerima Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Di Mulia – Peringkat Pertama Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SAAS) yang membawa gelaran Dato’ Sri Setia, manakala seramai 52 individu keseluruhannya dikurniakan darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang Ke-67.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *