KUANTAN — Jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari melahirkan rasa syukur selepas dianugerahkan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang bagi memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Ke-67.
Pengurniaan tersebut disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dalam istiadat yang berlangsung di Istana Abdulaziz, Kuantan pada 1 Ogos lalu.
Mohd Al-Jufferi, yang merupakan antara 18 penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), menyifatkan pengurniaan itu hadir pada waktu yang telah ditentukan Allah SWT, selain mengajar beliau erti kesabaran dan kematangan dalam menerima sesuatu penghormatan.
“Bagi pendapat saya dengan perjalanan yang telah saya lalui, kadang-kadang kita tak dapat terlalu awal itu ada perkara yang Allah nak mengajar manusia apa yang diketahui oleh-Nya.
“Jadi apabila kita dapat ini, mungkin waktu dulu kita tidak tahu kalau kita dapat waktu dulu, dia akan jadi macam riak ke, berlagak ke, kan?” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, gelaran yang diterima itu bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya hadir bersama amanah besar yang perlu dipelihara sepanjang hayat.
“Jadi sekarang kita dah dapat ini, makna kata syukurlah satu gelaran yang orang kata bukan senang nak perolehi dan kita dah dapat ni, kita kena jaga betul-betullah.
“Adabnya, dari segi kehormatannya terhadap Tuanku Sultan Pahang. Jadi kita nak kena jaga statusnya elok sebab kita bawa nama baginda sekali. Jadi kita ibaratnya sebahagian daripada nama besar Tuanku Sultan,” katanya lagi.
Anak kelahiran Pahang itu dikenali sebagai antara pesilat terbaik negara selepas mengharumkan nama Malaysia menerusi pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa termasuk memenangi pingat emas di Sukan SEA serta muncul juara dalam beberapa kejohanan dunia pencak silat.
Penganugerahan darjah kebesaran tersebut dilihat sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan beliau dalam mengangkat martabat sukan silat serta mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Pada istiadat sama, seramai 52 individu menerima darjah kebesaran dan pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Ke-67.













