KUALA LUMPUR – Ramai penulis bercita-cita menerbitkan buku sendiri, namun tidak semua memahami bahawa menghasilkan sebuah buku bukan sekadar menyiapkan manuskrip.
Sebaliknya, aspek seperti reka bentuk, susun atur halaman, pemilihan elemen grafik dan penyediaan bahan akhir sebelum cetakan turut memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti sesebuah penerbitan.
Bagi membantu penulis memahami proses tersebut, Penerbitan Langit dan Buku Orang Lidi dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bakal menganjurkan Kursus Asas Penerbitan Buku (Grafik) pada 12 September ini di Rumah PENA, Kuala Lumpur.
Pengarah Penerbitan Langit, Normazni Ayub, berkata kursus berkenaan diwujudkan bagi memberi pendedahan kepada penulis dan penggiat industri tentang pentingnya memahami aspek grafik dalam penerbitan buku.
“Ramai penulis mempunyai manuskrip yang baik, tetapi tidak semua memahami bagaimana sesebuah buku dibentuk menjadi sebuah penerbitan yang menarik, profesional dan bersedia untuk dicetak.
“Melalui kursus ini, peserta akan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang proses penerbitan buku dari sudut grafik dan reka bentuk, bukan hanya dari aspek penulisan semata-mata,” katanya ketika dihubungi Titik Baca hari ini.
Menurut Normazni, peserta akan didedahkan dengan asas reka bentuk penerbitan, struktur dan anatomi buku, penyediaan reka letak, final artwork serta proses menghasilkan produk penerbitan yang berkualiti.
Tambah beliau, kursus itu turut menyediakan perkongsian khas berkaitan penyediaan manuskrip yang memenuhi amalan terbaik industri.
Lebih menarik, kursus sehari itu bakal dikendalikan oleh pereka grafik, ilustrator, penulis dan penerbit berpengalaman, Azalan Hussain atau Sinaganaga, yang mempunyai lebih 37 tahun pengalaman dalam dunia penerbitan.
Azalan pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), selain terbabit dalam projek antarabangsa termasuk bersama UNESCO.
Karya ilustrasinya turut menjadi koleksi tetap Chihiro Art Museum, Jepun dan Galeri Petronas, selain menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).
Sebagai pengasas RedNaga Design, Studio Anai Anai dan Buku Orang Lidi, beliau juga dikenali sebagai antara individu yang aktif membimbing penulis, ilustrator serta penerbit buku indie tempatan.
Normazni berkata, kursus tersebut bukan sahaja sesuai untuk penulis baharu, malah terbuka kepada editor, pereka grafik, penerbit, pengusaha buku indie, pelajar institusi pengajian tinggi dan sesiapa yang berminat menghasilkan bahan penerbitan sendiri.
“Peserta bukan sahaja akan memahami aliran kerja penerbitan secara menyeluruh, malah memperoleh ilmu praktikal yang boleh terus digunakan dalam menghasilkan buku masing-masing,” katanya.
Yuran penyertaan ialah RM300 seorang atau RM250 seorang bagi pendaftaran berkumpulan antara dua hingga lima orang.
Tempat adalah terhad dan pendaftaran dibuka berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat.
Mereka yang berminat boleh mendaftar melalui borang dalam talian di https://forms.gle/aRXvA9dwvfYEnfy1A atau menghubungi pihak penganjur di talian 017-6680506.














