Mungkin ini filem pertama sinewan, Christopher Nolan, yang watak-wataknya tidak bergerak berlandaskan sains dan logik sains, tetapi sepenuhnya berserah kepada Tuhan (dalam kes filem ini, Dewa Zeus dan Dewa Poseidon) juga kuasa ghaib, selain bergerak dan bertindak berlandaskan petunjuk dan beberapa kali, intuisi—firasat—seperti mana Telemachus (dilakonkan Tom Holland) percaya ayahnya masih hidup di kala semua orang sudah tidak mahu lagi menanti kepulangan raja Ithaca itu.
Beberapa kali, motif kilat berdentum dan memanah menjadi pesan peringatan kepada watak-watak tentang kewujudan Mahakuasa tanpa pemaparan secara harfiah yang menjadikan Odyssey versi ini, cuba membumi.
Odeyseyyus (Matt Damon) pula sangat berpegang pada ramalan-ramalan dan petunjuk-petunjuk yang telah diceritakan kepadanya, serta mengingatkan bala tenteranya untuk berpegang pada sumpah-sumpah janji yang akhirnya dimungkiri, maka… disumpahi.
Sudah tentu, ini terkait dengan teks Odyssey itu sendiri yang berlatarkan Yunani dengan segala kepercayaan-kepercayaannya.
The Odyssey (2026) tentang kepulangan dan keinginan yang mendalam untuk kembali ke tanah asal-muasal.
Ia bukanlah ceritera baharu yang dihasilkan Nolan, kerana soal kepulangan adalah leitmotif dalam ouvre-nya; Dunkirk—perajurit yang kalah di medan perang, menempuh ‘perang’ penting yakni perang untuk pulang, Interstellar—seorang ayah yang ingin pulang ke pangkuan anaknya yang dipisahkan ruang-masa angkasaraya bahkan The Dark Knight Returns—seorang adiwira yang hilang dari kota asal yang dijarah oleh penjahat, berusaha mencari jalan keluar dari penjara (bukankah ini hikayat Odysseus untuk menyelamatkan Ithacana sebelum jatuh ke tangan manusia-manusia keparat?).
Dalam sebuah wawancara juga, Nolan berkata The Odyssey adalah rangkuman kepada semua filem yang pernah dihasilkannya. Maka, tidak hairan jika kita menemukan hal-hal intertekstual itu dalam The Odyssey.
Walau bagaimanapun, esei ini tidak akan ke wilayah auteurisme itu, sebaliknya membahas soal nostalgia dan keberhantuan dalam karya terbaru Nolan, The Odyssey.
Badai nostalgia dan gelora rindu terdalam
Kepulangan, rindu dendam kepada kampung halaman dalam filem ini adalah apa yang disebut sebagai nostalgia—nostos (kembali ke rumah), algia (kerinduan), dua kata yang juga berakar dari Yunani beserta nilai-nilainya.
Menariknya, Svetlana Boym mengujar dalam Future of Nostalgia bahawa sostalgia hanyalah sebuah istilah pseudo-Yunani, atau, secara ironinya, sebuah perkataan baharu yang turut bernostalgia terhadap bahasa Yunani.
Hal ini kerana, dalam tesisnya pada 1688, seorang doktor dari Switzerland, Johannes Hofer, mencipta perkataan “nostalgia” itu yang menurutnya, sepadan untuk mentakrifkan suatu keadaan muram berpunca daripada rindu dendam untuk kembali ke tanah air.
Meskipun Boym menegaskan bahawa nostos (kepulangan) dalam teks asal Odyssey oleh Homer tidak sama dengan nostalgia moden, disebabkan The Odyssey ialah sebuah adaptasi moden, pada era moden, berdasarkan teks terjemahan moden, oleh sinewan moden, maka tidak salah untuk mengatakan The Odyssey menghuni nostalgia moden seperti juga beberapa filem yang disentuh Boym dalam bukunya juga.
Sepanjang filem The Odyssey pula, memang Odysseus “dibadai” rindu dendam yang tak bertepi kepada “rumah”, lebih-lebih lagi pangkuan seorang isteri, Penelope (Anne Hathaway), yang terus-terusan menenun untuk menangguhkan kebenaran.
Boym berujar, “Cinta nan nostalgik memang hanya tumbuh dan mekar dari kejauhan dua insan.”
Sebab itu Penelope terus-terusan teringat akan Odysseus, bahkan mengingat dengan erat wasiat Raja Ithaca itu menerusi imbasan kembali, supaya Penelope berkahwin sekiranya dia tidak pulang, dan satu tamparan spontan sampai ke muka Odysseus.
Odysseus pula, tatkala tersadai di Pulau Ogygia dan “dipenjara” oleh Calypso (Charlize Theron), berada dalam keadaan ingat dan lupa, mimpi dan sedar diri akibat melahap teratai yang dikurniakan Calypso untuk mengabadikan Odysseus—mengabadikan cinta mereka juga menyembuhkan Odysseus—menyembuhkan Odysseus dari ‘penyakit’ nostalgia.
Namun, bayang-bayang silam terus menjadi igauan, tentang tanah air, tentang isteri, tentang anak, tentang bala tenteranya yang tersungkur dengan dosa-dosa (Odysseus).
Dia berteka-teki apakah dia mempunyai semua itu? Dia juga berteka-teki mengapa dia merasakan bahwa dia memiliki semua itu? Demikian nostalgia yang menjadi hantu dari masa silam tak memudar. Maka, perlahan-lahan, Calypso melepaskan Odysseus yang tidak ingin melepaskan.
Selain itu, ikhtisar Boym tentang “wajah sinematik nostalgia ialah pertindihan (superimpose) antara dua imejan—kampung halaman dan perantauan, waktu kini dan waktu silam, mimpi dan sehari-hari” adalah bentuk penuh The Odyssey.
Seawal filem bermula, tatkala sang penyair (penampilan khas bintang Hip Hop, Travis Scott), bersyair tentang kemenangan Perang Trojan, berlaku suntingan secara juktaposisi (persandingan) antara istana Itchana yang dipenuhi para pelamar menjamah santapan yang disediakan Penelope dengan visual-visual Perang Trojan—Odysseus berdiri di pantai seorang diri, arca kayu berbentuk kuda besar di tepi pantai dan lain-lain.
Jukstaposisi pembuka yang spectacle antara “rumah” dan perantauan ini, terus menjadi motif dalam keseluruhan filem bahkan sehingga ke penghujung filem!
Boym dalam wacananya tentang nostalgia, membahagikan nostalgia kepada dua rencam, nostalgia restoratif, dan nostalgia refelektif.
“Nostalgia restoratif” menekankan pada “nostos”-nya dan mencuba rekonstruksi sejarah mengenai “rumah” yang hilang, serta punya kecenderungan untuk menjadi lebih “essentialist” dalam melihat sejarah dan memori.
Sementara itu “nostalgia reflektif” berkembang dalam “algia”-nya, kerinduan itu sendiri, dan menangguhkan kepulangan ke rumah (homecoming)—dengan hati yang rindu, ironis, dan putus asa.
Nostalgia reflektif juga, ujar Boym, adalah kesedaran tentang masa silam, tetapi masa silam bukanlah sesuatu untuk dibina semula, sebaliknya dijadikan pedoman dan azimat untuk menuju ke hadapan.
Sudah tentu, dengan naratif Odyssey, ia secara umum merupakan bentuk nostalgia restoratif.
Perjalanan panjang bergelora dan membadai untuk pulang ke kampung halaman, ke istana, ke takhta, ke isteri adalah sebuah perjalanan nostalgia yang restoratif—tuntutan untuk kembali kepada tatanan (order) sedia ada dan status quo.
Namun menjelang penghujung dan sebaik naratif berkembang, nostalgia dalam filem ini mulai berevolusi kepada nostalgia reflektif.
Kenyataan bahawa dia tidak boleh pulang sebagai diri sendiri—tidak boleh pulang sebagai raja di negeri sendiri, sudah memudarkan unsur-unsur restoratif itu.
Kepulangannya ke Ithaca tidak sehangat keberangkatan dari Ithaca dahulu, apatah lagi kali ini, dia pulang seorang diri setelah kehilangan segala bala tentera.
Kepulangan itu tidak memudarkan kehilangan, kekalahan untuk pulang sebagai wira. Menang di medan perang, tumpas di medan kepulangan. Semua itu tidak boleh dituntut semula atau direstoratifkan semula.
Kata Boym, “Nostalgia refelektif” lebih tertumpu kepada hubungan sejarah dan individu, dengan ketentuan bahawa masa lalu tidak boleh diubah dan kewujudan manusia itu terbatas.
Pada penghujung filem, Odysseus dibuang negeri bersama-sama dengan sang isteri, kerana melanggar Hukum-hakam Zeus dengan melanggar xenia (nilai layanan ramah dan baik kepada tetamu)—dalam kes Odysseus, baginda membunuh semua pelamar di istana!
Namun, Odysseus tersenyum saat terbaring di pangkuan Penelope sambil berkata “buang negeri” kerana “rumah” buat Odysseus bukan lagi tanah air, istana dan takhta tetapi pelukan hangat seorang isteri yang dirindukan, didamba dan dijuangkan selama hampir 20 tahun lamanya.
Di titik akhir inilah The Odyssey berkembang dan tidak lagi statik dengan nostalgia restoratif, tetapi bercampur baur dengan nostalgia reflektif, kerana meski dibuang negeri, dia masih bersama “rumahnya”—Penelope.
Kita diperlihatkan montaj antara Themaculas menjadi Raja Ithaca dengan Odysseus dan Penelope menaiki kapal menuju ke kawasan paling barat seperti yang pernah didambakan Penelope dalam montaj-montaj di awal filem.
Keberhantuan perang dan Odysseus yang berhantu?
Nostalgia sering berkait dengan masa, dan masa telah menjadi “hantu” yang datang dari masa lalu.
Dengan nostalgia, masa kini dan masa lalu juga mengabur serta dijungkirbalikkan—tidak ada yang benar-benar konkrit.
Masa dijungkirbalikkan ini juga sangat dekat dengan sosok-sosok hantu dalam banyak filem-filem seram yakni hantu-hantu ini akan melampaui jalur masa lelurus (linear) atau mengikut susunan kronologik.
Mereka yang sepatutnya diam di masa lepas tetapi bergentayangan di masa kini bukan sahaja mencetuskan situasi uncanny, tetapi juga mengganggu-gugat masa.
Meskipun nirlelurus (non-linear) Nolan tidaklah di tahap time-image yang sampai tidak dapat diatur walhal teks klasik Yunani memang berselerakan masanya ala hikayat-hikayat Melayu yang mendekati cyclical time (masa berputaran) dan mythical time (masa mistik), permainan intercutting dalam filem ini telah membolak-balikkan masa sedikit, khususnya kewujudan sosok Athena (salah satu dewa dalam mitologi Greek, dilakonkan oleh Zendaya) tetapi dibentukkan di dalam sosok seorang perempuan yang telah di sembelih dalam perang Trojan.
Peleraian pada penghujung filem tentang siapa sosok ini (Athena) yang terus bergentayangan di sisi Odysseus sepanjang filem menunjukkan “keberhantuan” perang—trauma yang menyelubungi Odysseus.
Maka, meskipun sepanjang filem ini, ia sarat dengan elemen hantu, ahli sihir, raksasa yang mungkin terkait dengan dunia mitologi sekali gus menjarakkan filem ini dengan filmografi Nolan yang sebelum-sebelumnya, yang paling menghantui adalah rasa berdosa kepada orang-orang tidak berdosa di Perang Trojan—termasuk seorang perempuan yang dipancung lehernya seperti mana dipancung sebuah arca suci di kota Trojan itu.
Maka, Athena muncul dalam jelmaan gadis itu, sebagai panduan hikmah, pengingat tentang dosa-dosa itu.
Masa lalu tidak pernah padam, malah masa lalu tidak pernah benar-benar menjadi masa lalu. Trauma inilah yang diceritakan Odysseus (yang menyamar sebagai pengemis) tatkala dipanggil untuk berbicara dengan Penelope di istana yang seperti sebuah “pengakuan” (confession), bukan hanya “pertemuan”.
Selain jukstaposisi antara “rumah” dan perantauan, jukstaposisi antara tanah dan air, yakni darat dan lautan, menjadi leitmotif sepanjang filem.
Yang menariknya, lautan yang sering membadai Odysseus itu jauh lebih ramah dan berhikmah ketimbang daratan yang kelihatan seimbang tetapi sebenarnya lebih terumbang-ambing, bergelora dan membadai.
Manusia-manusia di istana Ithaca itu semuanya jauh lebih “hantu” daripada segala “hantu” yang ditemukan Odysseus di samudera raya.
Demikianlah yang berlaku di istana Ithaca, ketika sebenarnya kesemua orang yang konon-kononnya mengikut segala titah perintah Zeus bermuka-muka dan berencana menguasai istana (termasuk salah seorang pembantu Penelope) dan sentiasa berdoa agar Odysseus, sang raja, benar-benar mati.
Tidak, mereka memang percaya Odysseus benar-benar sudah mati! Namun, di sinilah sudut keberhantuan yang lain, yakni Odysseus menghuni elemen keberhantuan itu sendiri—dia pernah “mati” lalu kembali membalas dendam—ibarat hantu-hantu yang bangun dari kubur untuk melunaskan dendam yang tidak dibayar tuntas!
Maka, apabila Odysseus muncul kembali di istana Ithaca yang menyamar sebagai pengemis (yang mirip hantu juga suka menyamar dan mengelabukan mata manusia daripada wajah sebenar mereka) berjaya menekan busur dan menyambung tali busur, semua tergamam, terdiam.
Lalu ketika rahsia sudah terbongkar, Odysseus mula menunjukkan wajah sebenarnya, manusia-manusia yang tamak haloba sebelumnya jadi tak keruan, bergelimpangan, bertempiaran mencari senjata untuk menumpas “hantu dari masa lepas” yang sedang mengganas dan merasuk di ruang itu.
Akhirnya, seperti kebanyakan filem seram, ada yang lebih hantu daripada hantu khususnya si Antinuous (Robert Pattison) yang akhirnya tumpas meskipun lembing dan pedang sudah menusuk ke tubuh Odysseus. Hantu yang bangkit dari pusara itu membayar dendamnya dengan tuntas!
Dan seperti lazimnya hantu di dalam filem-filem, mereka akhirnya dinyahkan dari ruang yang tidak sepatutnya mereka berada, yakni di masa kini.
Maka dengan itu, Odysseus menerima takdir untuk dibuang negeri. Dia seperti hantu dari masa lalu yang tidak lagi sepadan menghuni ruang Ithaca kerana melanggar hukum-hakam Zeus, mirip hantu yang sentiasa terlihat bertentangan dengan sosok dan hukum agama.
Tetapi yang penting, kehadirannya untuk menyahstabilkan status quo dan menuntut kembali apa yang tak terlunas sepanjang “kematiannya”, berjaya didakapinya. Maka dengan rela, dia berangkat menuju ke arah matahari terbenam.
Nostalgia ke masa hadapan
Nostalgia yang bersusur-galur sebagai penyakit dalam perubatan, dicatatkan dalam tesis Hofer berlandaskan pemerhatian ke atas bala tentera Swiss yang bertugas di medan perang di Perancis dan beberapa negara Eropah.
Menerusi mereka, Hofer menemukan kerinduan kampung halaman (homesickness) yang mendalam dan memuramkan.
Dan sabda Boym, memang nostalgia akan dihuni oleh mereka yang di perantauan, bukan yang di kampung halaman, malah pada satu takah terjerat dalam romansa nasionalisme kerana kejauhan—rindu dendam.
Sudah tentu, nostalgia berfungsi sebagai utopia dan sebuah kontra terhadap trauma dan keresahan yang dialami di medan perang.
Maka, seperti Oppenheimer (2023), walaupun beberapa pengkritik menghentam Nolan kerana gagal memaparkan trauma mangsa-mangsa di Hiroshima, Oppenheimer juga adalah tentang trauma seorang “panglima” perang setelah membunuh jutaan nyawa usai berjaya membangunkan bom atom, menjadi “Prometheus moden”.
Dalam konteks hari ini, The Odyssey dengan paparan trauma Odysseus boleh dibaca sebagai kritik terhadap dasar perang Amerika Syarikat di bawah kekuasaan Presiden Donald Trump yang gemar meletuskan perang.
Dan apa yang menarik, trauma perang ini bukanlah hal baharu dalam sinema Hollywood dan Amerika, kerana pemaparan trauma veteran askar yang pulang dari perang—tak kiralah Perang Vietnam, Perang Iraq, Perang Teluk, dan bermacam lagi—adalah antara leitmotif dalam sinema mereka (paling monumental pastilah Taxi Driver).
Kali ini, Nolan memaparkan bagaimana seorang raja besar juga mengalami trauma yang sama.
Maka, adakah pemerintah dan pembuat dasar di sana merasakan trauma yang sama seperti bala tentera mereka yang dihantar ke neraka bernama medan perang?
Hanya yang Esa Maha Mengetahui.













