Pameran Anak Alam sempena ulang tahun ke-50

Anakalamharta

AMPANG — Kurator seni, Faizal Sidek mempersembahkan pameran khas Anak Alam 50 Tahun (1974–2024) bagi menelusuri perjalanan dan legasi salah sebuah kolektif seni paling berpengaruh di Malaysia yang telah membentuk landskap seni kontemporari negara sejak penubuhannya lebih lima dekad lalu.

Pameran yang diadakan di Galeri Harta tersebut dibuka kepada kujungan umum sehingga 31 Ogos ini menghimpunkan karya 12 seniman Anak Alam, termasuk tokoh perintis seperti Latiff Mohidin, Mustapha Hj. Ibrahim, Ali Mabuha Rahamad, Zulkifli Dahlan, Maryam Abdullah, Siti Zainon Ismail, Ismail Abdullah, Abdul Ghafar Ibrahim, Yusof Gajah, Mad Anuar Ismail, Abdul Mansoor Ibrahim dan Mazlan Noor.

Dengan kurotorial Faizal, pameran itu menampilkan evolusi artistik kolektif berkenaan dari era 1960-an hingga 2020-an melalui karya seni, bahan dokumentasi dan arkib yang merakam sejarah perkembangan Anak Alam.

Majlis pembukaan pameran berlangsung petang tadi dan disempurnakan oleh penulis, wartawan serta bekas aktivis Anak Alam, Tan Sri Johan Jaafar.

Antara tarikan utama pameran ialah segmen arkib yang menghimpunkan pelbagai bahan asli seperti surat, poster pameran, fotografi, katalog, kad jemputan serta keratan akhbar dan majalah yang kebanyakannya belum pernah dipamerkan kepada umum.

Koleksi itu bukan sahaja melengkapkan pameran karya seni, malah menjadi rekod visual penting yang memperlihatkan perjalanan serta sumbangan Anak Alam terhadap perkembangan seni kontemporari Malaysia.

Pameran dibahagikan kepada empat segmen utama yang memperlihatkan perkembangan kolektif tersebut mengikut dekad.

Segmen pertama yang merangkumi era 1960-an hingga 1970-an menelusuri pembentukan Anak Alam sebelum penubuhannya pada 1 Mei 1974, dengan menampilkan karya awal beberapa pengasas termasuk Latiff Mohidin, Zulkifli Dahlan, Mustapa Hj. Ibrahim, Ismail Abdullah, Abdul Ghafar Ibrahim, Maryam Abdullah dan Abdul Mansoor Ibrahim.

Segmen itu memperlihatkan kecenderungan mereka terhadap alam, budaya Nusantara, eksperimentasi artistik dan pendekatan rentas disiplin yang menjadi asas kepada identiti kolektif berkenaan.

Bagi era 1980-an hingga 1990-an, pameran mengetengahkan karya Siti Zainon Ismail yang meneroka tekstil Melayu dan Nusantara melalui penyelidikan budaya, selain arca kayu Ali Mabuha Rahamad yang dihasilkan ketika berada di Amerika Syarikat hasil pengaruh pengembaraan beliau ke Asia, Eropah dan Amerika.

Segmen 2000-an pula memberi tumpuan kepada legasi Mad Anuar Ismail dan Yusof Gajah, dengan karya yang mengangkat warisan maritim, seni pertukangan tradisional Melayu serta bahasa visual ikonik berinspirasikan imejan gajah yang sinonim dengan Yusof Gajah.

Sementara itu, segmen 2010-an hingga 2020-an menampilkan karya Mazlan Noor menerusi siri Genta dan Gema Jalur, yang meneroka perjalanan rohani serta hubungan manusia dengan alam dan ketuhanan melalui pendekatan abstrak.

Anak Alam ditubuhkan pada 1 Mei 1974 hasil gabungan sekumpulan seniman muda berpandangan jauh termasuk Latiff Mohidin, Mustapa Hj. Ibrahim, Zulkifli Dahlan, Maryam Hj. Abdullah, Ali Mabuha Rahamad dan Yusoff Osman.

Kemunculan kolektif itu pada era kebangkitan seni Malaysia sekitar 1970-an menyaksikan Anak Alam menjadi antara kumpulan yang memainkan peranan penting dalam membentuk identiti seni kontemporari negara melalui pendekatan yang bebas, eksperimental dan berteraskan budaya tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *