KUALA LUMPUR — Dana Krishen Jit 2026 memperuntukkan geran berjumlah RM61,000 kepada tujuh penggiat seni tempatan bagi menyokong penghasilan karya kreatif, eksperimental dan rentas disiplin dalam bidang seni persembahan, filem, seni visual serta pendidikan seni.
Dana yang memasuki tahun ke-21 penganjurannya itu menerima sebanyak 84 permohonan pada tahun ini, dengan tujuh penerima dipilih menerusi proses penilaian panel yang terdiri daripada wakil sektor seni, pendidikan, korporat dan industri kreatif.
Dana Krishen Jit ditadbir dan diuruskan oleh Five Arts Centre dengan sokongan Astro dan Creador Foundation.
Sejak diperkenalkan pada 2006, dana berkenaan telah menyalurkan sebanyak 103 geran bernilai RM783,000 sehingga 2025.
Dana ini diwujudkan oleh Astro bersama-sama Five Arts Centre bagi memperingati sumbangan tokoh teater Malaysia, Allahyarham Dato’ Krishen Jit, yang terkenal dengan pendekatan kreatif dan eksperimental dalam meneroka identiti serta kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.
Antara matlamat utama dana tersebut adalah untuk meneruskan semangat Krishen Jit dalam mengembangkan kreativiti tempatan melalui karya yang merentasi disiplin, bahasa, budaya dan pendekatan artistik.
Bagi tahun ini, penerima geran terdiri daripada Loh Kok Man dan Kuik Yi Ke yang masing-masing menerima RM12,000, diikuti Ananth Subramaniam dan Zinc Chew Tze Ying yang memperoleh RM10,000 setiap seorang.
Tiga lagi penerima ialah Chew Win Chen atau lebih dikenali sebagai Okui Lala yang menerima RM7,000; serta Mohammad Naquiddin Tajul Ariffin dan Sarah Lois Dorai yang masing-masing memperoleh RM5,000.
Loh Kok Man menerima geran bagi menjayakan Smuggling Dreams, sebuah persembahan rentas disiplin selama 60 minit yang menggabungkan seni boneka, tarian, multimedia dan teater fizikal.
Karya tersebut meneroka persoalan ingatan, perpindahan dan kerinduan melalui naratif fantasi yang menghubungkan pengalaman peribadi dengan sejarah kolektif.
Sementara itu, Kuik Yi Ke akan membangunkan Jalan in the Dream, sebuah projek pameran rentas media yang meneliti kosmologi animisme masyarakat Orang Asli Semaq Beri dan Jah Hut di Pahang.
Projek tersebut memberi perhatian kepada hubungan antara manusia, roh, hutan dan amalan penyembuhan tradisional, sekali gus membuka ruang untuk memahami sistem kepercayaan masyarakat peribumi melalui perspektif mereka sendiri.
Dalam bidang perfileman, Ananth Subramaniam menerima geran untuk menghasilkan Society of Bones, sebuah drama komedi berbahasa Tamil selama 15 minit.
Filem pendek itu mengisahkan sebuah kampung masyarakat Tamil Malaysia yang berdepan ancaman perpindahan selepas penemuan tulang prasejarah di kawasan kampung berkenaan.
Zinc Chew Tze Ying pula akan menghasilkan Resting Place: Reaching for the Sky, Belonging to the Earth, sebuah projek yang meneliti hubungan antara industri hartanah dan pengurusan tanah perkuburan.
Karya tersebut mengangkat persoalan tentang harga kehidupan yang dianggap baik serta makna kehidupan selepas kematian, dengan menelusuri pertembungan antara pembangunan bangunan tinggi dengan ruang persemadian.
Bagi Chew Win Chen atau Okui Lala, geran berkenaan akan digunakan untuk membangunkan Something in Me, sebuah esei video eksperimental yang meneroka tubuh manusia sebagai ruang yang berulang kali ditafsirkan dan didokumentasikan.
Karya itu menggabungkan rekod perubatan, ingatan dan perbualan bagi meneliti perubahan hubungan antara tubuh dengan kesedaran.
Dalam bidang pendidikan seni pula, Mohammad Naquiddin Tajul Ariffin akan membangunkan platform pembelajaran berasaskan web bagi pengajaran reka bentuk pencahayaan untuk seni persembahan di peringkat prasiswazah.
Projek itu menggabungkan pengetahuan berasaskan penyelidikan, proses reka bentuk pencahayaan dan bahan pembelajaran digital interaktif bagi membantu pelajar memahami aspek teknikal serta kreatif pencahayaan pentas, khususnya dalam menangani keterbatasan akses kepada latihan berasaskan studio.
Penerima terakhir, Sarah Lois Dorai, akan menyokong penerbitan buku cerita kanak-kanak dwibahasa Kelabit dan bahasa Inggeris berjudul Alai & Paren Go To Bario.
Buku yang ditulis oleh Zoe Da’un Mariner itu merupakan kesinambungan usaha penerbit Sceptre Seven Press untuk menyediakan bahan bacaan asas yang dapat membantu pewarisan bahasa Kelabit kepada generasi seterusnya.
Kepelbagaian projek yang menerima geran pada tahun ini memperlihatkan keluasan pendekatan Dana Krishen Jit dalam menyokong perkembangan seni tempatan, daripada penghasilan karya eksperimental dan penceritaan komuniti peribumi kepada inovasi pendidikan serta pemeliharaan bahasa.
Dana tersebut turut meneruskan legasi pemikiran Krishen Jit yang melihat seni sebagai ruang untuk meneliti identiti, sejarah dan kehidupan masyarakat melalui pelbagai bentuk ekspresi kreatif.
Panel pemilihan Dana Krishen Jit 2026 terdiri daripada Pengarah Bahagian Pemerkasaan Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Saifulkhairi Ahmad; Naib Presiden Kanan Komunikasi dan Kelestarian Astro, Jolyn Gasper; Pengarah Creador Foundation, Maha Subramaniam; pendidik dan pengamal seni dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan serta Main Theatre, Iefiz Alaudin; Pengurus Kanan Program dan Kerjasama GMBB, Lim Ying Xian; dan Penasihat Kanan Strategi Korporat Minconsult Sdn. Bhd., Ravi Navaratnam; serta anggota Five Arts Centre.
Sejak penubuhannya pada 1984, Five Arts Centre terus memperjuangkan penghasilan karya seni kontemporari yang eksperimental, rentas disiplin dan silang budaya.
Penubuhan Dana Krishen Jit pada 2006 menjadi antara usaha berterusan organisasi tersebut untuk menyediakan sokongan kepada penggiat seni serta memperluas peluang penghasilan karya kreatif di Malaysia.













