KUALA LUMPUR — Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa usaha menjadikan Malaysia sebagai “kota membaca” bukan sekadar program bersifat simbolik, sebaliknya satu gerakan nasional yang memerlukan penglibatan menyeluruh rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Sesi Pidato Negarawan sempena pelancaran Kota Baca 2026 yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini.
Menurut beliau, inisiatif Kota Baca perlu difahami sebagai satu usaha akar umbi yang menuntut perubahan budaya dan disiplin membaca dalam kalangan masyarakat.
“Ia bukan sekadar himpunan pembaca, tetapi satu gerakan penting yang mahu melihat perubahan bermula daripada pembudayaan membaca yang tinggi,” katanya.
Fadhlina menjelaskan bahawa pembinaan “kota membaca” perlu bermula dari dalam diri rakyat, dengan pengisian nilai dan kesedaran terhadap kepentingan ilmu sebagai asas pembangunan negara.
“Apabila kita rencanakan Kota Baca, ia bukan sekadar optik.
“Ia mesti diisi dalam sanubari rakyat, apa yang kita mahukan dalam pembinaan sebuah masyarakat membaca,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa hanya bangsa yang membaca mampu mencapai kejayaan, sejajar dengan seruan ilmu yang menjadi asas dalam tradisi keilmuan, termasuk penekanan terhadap konsep iqra.
Budaya membaca sebagai identiti
Dalam pidatonya, Fadhlina menyeru agar budaya membaca terus diperkasa sehingga menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat.
“Saya sangat bahagia mengisytiharkan bahawa kita sedang berada dalam ekosistem Kota Baca Malaysia, sebuah kota yang menyenangkan semua orang, di mana buku dan ilmu mudah dicapai,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan sebenar inisiatif ini dapat dilihat apabila masyarakat mula menjadikan buku sebagai topik perbualan harian.
“Salah satu tanda kita sudah mencapai ciri kota membaca ialah apabila kita tidak lagi bertanya ‘apa khabar?’, tetapi ‘baca buku apa hari ini?’,” katanya.
Gerakan nasional di Kota Baca 2026
Kota Baca 2026 merupakan acara literasi kebangsaan yang berlangsung dari 23 hingga 26 April, menghimpunkan pelbagai aktiviti berteraskan buku, pembacaan dan budaya ilmu di Dataran Merdeka.
Melalui platform ini, kerajaan dan pelbagai pihak berganding bahu dalam memperkukuh ekosistem pembacaan negara, selaras dengan aspirasi melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing.
Ucapan Fadhlina dalam Pidato Negarawan itu dilihat sebagai penegasan komitmen kerajaan dalam memastikan pembudayaan membaca terus diperkasa sebagai asas kepada masa depan negara.












