Baru sahaja diumumkan penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) pada Selasa lalu—sela masa yang belum pun mencecah seminggu hingga hari ini.
Namun, pengumuman Sasterawan Negara ke-16 kali ini terasa sedikit berbeza. Berbanding penganugerahan ke-15 dahulu, yang saya ingat masih bergema dengan pelbagai soksek-soksek di media sosial untuk tempoh yang agak panjang, kali ini gaungnya terasa lebih cepat mereda.
Sepanjang seminggu ini saya menatal media sosial, dan jelas kelihatan perbezaannya: perbincangan tentang Sasterawan Negara tidak lagi segencar dahulu selepas Mana Sikana diumumkan sebagai penerima ASN.
Sebaliknya, kegencaran itu lebih terasa beberapa hari sebelum pengumuman dibuat—seolah-olah kemuncaknya berlaku sebelum keputusan diumumkan, bukan selepasnya.
Saya fikir ada hal asas yang perlu diteliti semula. Jika dahulu saya ghairah untuk mengetahui siapakah Sasterawan Negara seterusnya, kini perasaan itu sudah pudar.
Keghairahan itu terhenti beberapa tahun kebelakangan ini, sehingga saya sampai pada tahap tidak lagi mahu ambil tahu siapa yang bakal menerima gelaran tersebut.
Siapapun pemilik gelaran itu selepas ini, yang saya mahu tahu dengan terperinci ialah bagaimana sasterawan negara itu dipilih, disaring dan proses penjurian termasuklah senarai penuh juri.
Di belakang kelir sastera ini, ada soksek-soksek lain yang berbunyi. Ada yang menyatakan pemilihan berdasarkan merit. Misalnya individu yang menulis bab dalam buku, diberi merit sekian-sekian; ada jawatan dalam persatuan, merit sekian-sekian; ada buku sastera diterbitkan, merit sekian-sekian.
Merit-merit itu ditambah, kemudian calon yang mendapat jumlah merit tertinggi akan dapat gelar Sasterawan Negara.
Adakah ia seratus peratus benar? Mungkin ya dan mungkin tidak. Ia hanyalah desas-desus apabila berbual dengan rakan-rakan seperjuangan.
Disebabkan kita sebagai orang awam, itu bukan tugas kita untuk melihat bahkan mengetahui bagaimana sesungguhnya perangkul gelaran ini dimenangkan.
Namun, persoalan tetap timbul apabila ketelusan menjadi semakin penting dalam wacana budaya dan sastera hari ini.
Isu penganugerahan kepada tokoh yang telah meninggal dunia pula bukan lagi menjadi polemik utama.
Walaupun saya cenderung menyokong pandangan Rem Dambul yang pernah menulis polemik tentang hal ini, keputusan Jemaah Menteri meminda syarat teknikal tersebut telah menutup ruang perdebatan.
Kini, pencalonan boleh dibuat selagi individu itu masih hidup pada waktu dicalonkan.
Sesiapapun yang dapat merangkul gelaran ini, tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak. Saya yakin para juri memilih yang paling layak untuk dikalungkan gelaran ini.
Jadi, julukan “paling layak” itu harus diberikan laporan yang terperinci. Ucapan Menteri Pendidikan ketika mengumumkan Mana Sikana sebagai penerima anugerah ini tidak cukup dikelek sekali sebagai “laporan penuh”.
Usai menteri berucap, saya membuat analogi; jika digantikan nama penerima dengan individu-individu lain dan disebut sumbangan masing-masing, tidakkah ia sama sahaja?
Baik, jika masyarakat awam diberi baca laporan penuh pun, adakah ia cukup? Bagi saya, tidak juga.
Disebabkan—sekali lagi—laporan itu apabila ditukar namanya kepada individu lain beserta dengan sumbangan, tulisan, karya dan pemikirannya sekalipun, ia akan dianggap sama dengan pemenang gelar.
Ada cara lain, tetapi mustahil juga pihak penganjur untuk lakukan—walaupun sudah bertahun polemik inilah yang pemerhati sastera mahukan—iaitu senaraikan sekali siapa individu yang dicalonkan, setidak-tidaknya tokoh yang berjaya ke finalis.
Jadi, dengan dua hal itu—nama calon dan bagaimana pemilihan dibuat—barulah masyarakat dapat membuat pertimbangannya sendiri untuk mengetahui kenapa seseorang individu itu menerima anugerah tertinggi sastera ini.
Adakah pertimbangan masyarakat lebih ideal berbanding juri? Sekali lagi, tidak semestinya. Juri lebih mahir dalam penjurian. Tetapi dalam hal sasterawi yang tidak jelas hitam putih sebegini, eloklah diteluskan prosesnya.
Ketika itulah pemerhati sastera boleh menilai sendiri adakah pemenang itu yang terbaik dalam kalangan yang terbaik; atau yang terbaik dalam kalangan yang tidak baik?
Saya bukan mengatakan yang mendapat gelar ini tidak baik. Tetapi barang diingatkan, untuk mendapatkan gelaran tertinggi ini, perlu ada pencalonan.
Apabila memberi contoh ini, saya selalu memberi contoh dengan memetik figura Faisal Tehrani. Beliau antara nama yang disebut-sebut untuk menjadi Sasterawan Negara.
Pun, disebabkan beliau mempunyai beberapa “hal yang tidak beres dengan rejim”, siapa yang mahu mencalonkan beliau?
Poin saya adalah seseorang tokoh sasterawan besar sekalipun, jika tidak dicalonkan untuk anugerah ini, ia tidak boleh dipertimbangkan untuk menang.
Jika SM Zakir atau Jasni Matlani (sekadar contoh) terlupa untuk menghantar pencalonan, bagaimana mereka ini nak menang?
Jika Jemaah Menteri boleh meminda syarat berkaitan status hidup penerima, maka tidak mustahil untuk mempertimbangkan pindaan lain; misalnya membenarkan pemilihan dibuat tanpa pencalonan formal, sekiranya seseorang itu benar-benar layak.
Ya, pencalonan Hadiah Nobel Kesusasteraan juga berdasarkan pencalonan. Negara jiran, Indonesia pun sekurang-kurangnya tiga kali mencalonkan Pramoedya Ananta Toer untuk Hadiah Nobel. Dan nama itu hanya diketahui oleh orang awam jika pencalonan itu diberitahu oleh pencalon, kerana nama rasmi yang dicalonkan hanya diketahui selepas 50 tahun tarikh pengumuman semasa dibuat.
Bukan kita menolak cara mereka menjuri, tetapi ada hal yang boleh dilonggarkan dan diubah suai daripada syarat-syarat semasa. Beberapa hadiah sastera tempatan juga mengarah ke situ.
Beberapa hadiah sastera tempatan sudah pun bergerak ke arah tersebut.
Contohnya Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-7 (2022) yang menyediakan laporan juri menamakan calon akhir untuk memenangi Anugerah Sasterawan Negeri, Anugerah Ilmuwan Negeri, Karyawan Sepanjang Hayat dan Anugerah Pejuang Sastera.
Juga Hadiah Sastera Selangor, Hadiah Puisi T. Alias Taib, dan terkini Sayembara Mencari Sasterawan 2026; semua hadiah dan sayembara ini mengumumkan finalis sebelum mengumumkan pemenang.
Namun, sistem pencalonan juga tidak terlepas daripada kelemahan.
Bayangkan jika hanya dua pencalonan diterima—dan kedua-duanya tidak benar-benar layak. Maka, pemenang yang dipilih hanyalah yang “terbaik” dalam kalangan yang terburuk.
Ia bukan tidak pernah berlaku dalam sejarah hadiah sastera. Dalam laporan Hadiah Sastera Kelantan 2023/2024, pengajur hanya menerima enam buah kumpulan cerpen yang dicalonkan, dan pemenang ketika itu kumpulan cerpennya yang tidak sedap pun.
Ia ada dua sebab. Pertama, memang penganjur mahu ada pemenang. Atau kedua, kumpulan cerpen itu adalah yang terbaik dalam kalangan yang tidak terbaik.
Bagaimana pula jika tiada sasterawan negara? Ia lebih melegakan. Jika tiada yang terbaik dalam pencalonan, kata saja tiada.
Hadiah Sastera Selangor 2020 membuktikan bahawa ia boleh berlaku. Jika tiada yang terbaik, maka jangan umumkan pemenang.
Kita mengharapkan setiap kali sayembara, hadiah sastera, sehinggalah anugerah sastera negara akan ada penambahbaikkan tahun ke tahun.
Tetapi apa pun, kita tiada suara. Hanya boleh berpolemik di dalam media sosial saban tahun dan menunggu tahun-tahun mendatang untuk mengetahui siapa lagi sasterawan negara yang akan datang walaupun ada dalam kalangan masyarakat yang tidak tahu pun apa fungsinya.













