Buka Panggung 2026 tampilkan lima genre teater tradisional

Bukapanggung

KUALA LUMPUR — Festival Buka Panggung 2026 anjuran Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan berlangsung sepanjang Mei ini dengan mengetengahkan lima genre teater tradisional menerusi persembahan pelajar diploma dan ijazah sarjana muda institusi berkenaan.

Dekan PuTRA, Kamarulzaman Taib berkata, program yang berlangsung dari 12 hingga 26 Mei itu menjadi medan untuk memperlihatkan hasil latihan dan pembelajaran pelajar dalam bidang seni persembahan tradisional.

Persembahan1
Antara teater tradisional yang dipersembahkan.

Menurut beliau, sebanyak 10 malam persembahan akan dipentaskan melibatkan wayang kulit, makyung, bangsawan, randai dan mek mulung.

“Setiap genre akan dipersembahkan selama dua malam. Kesemua persembahan ini melibatkan pelajar yang mengikuti pengajian diploma dan ijazah sarjana muda di bawah PuTRA,” katanya ketika dihubungi Titik Baca baru-baru ini.

Beliau berkata, pengajian teater tradisional merupakan komponen wajib bagi pelajar seni persembahan ASWARA, di mana mereka perlu memilih salah satu cabang teater tradisional untuk dipelajari secara praktikal sepanjang pengajian.

Katanya, Buka Panggung bukan sekadar acara persembahan tahunan, tetapi turut berfungsi sebagai platform penilaian terhadap kemampuan pelajar selepas melalui latihan selama beberapa semester.

“Di sinilah pelajar memperlihatkan kebolehan yang mereka pelajari sepanjang tempoh pengajian, selain mengembangkan bakat dan minat dalam seni tradisional,” katanya.

Persembahan2
Antara teater tradisional yang dipersembahkan.

Tambah beliau, festival berkenaan juga menjadi ruang untuk mendekatkan masyarakat bandar dengan warisan seni persembahan Melayu yang semakin jarang dipentaskan secara terbuka.

“Bukan selalu masyarakat berpeluang menyaksikan teater tradisional seperti ini. Jadi, Buka Panggung menjadi wadah untuk memperkenalkan semula seni warisan kepada khalayak kontemporari,” katanya.

Semua persembahan pelajar ditawarkan pada harga tiket RM20 dan pementasan dibuat di Panggung Eksperimen dan Dewan Orkestra, ASWARA.

Tiket persembahan boleh didapati dengan menghubungi pejabat PuTRA di talian 03-27786062.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *