KUALA LUMPUR — Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) hari ini melancarkan Fasa Ketiga Projek Penerbitan Buku PENA–Malaysia MADANI, sekali gus membuka peluang kepada penulis di seluruh negara menghantar manuskrip bagi tujuan penerbitan di bawah inisiatif tersebut.
Pelancaran projek itu berlangsung bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 dengan kehadiran Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, serta Pengarah Projek Penerbitan Buku PENA–Malaysia MADANI, Mohd Khair Ngadiron.
Menurut Mohamad Saleeh, projek berkenaan merupakan kesinambungan usaha memperkukuh budaya ilmu, pembangunan karya tempatan dan akses rakyat terhadap bahan bacaan berkualiti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Dalam sidang media hari ini, PENA turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Kewangan, atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sastera, budaya membaca, pemerkasaan bahasa Melayu dan industri penerbitan tempatan menerusi pelaksanaan projek tersebut.
Sejak diperkenalkan pada 2024, Projek Penerbitan Buku PENA–Malaysia MADANI telah berjaya menerbitkan lebih 128 judul buku melibatkan lebih 150 penulis tempatan.
Buku-buku yang diterbitkan turut diedarkan ke 2,292 sekolah menengah, 20 universiti awam serta perpustakaan desa di seluruh negara.
Bagi fasa ketiga, PENA membuka penyertaan kepada penulis Malaysia yang mempunyai manuskrip lengkap dan berkualiti dalam pelbagai genre termasuk novel, cerpen, puisi, drama pentas, buku umum, biografi, memoir, travelog dan buku bergambar kanak-kanak.
Manuskrip yang terpilih akan diterbitkan secara profesional dengan cetakan awal sebanyak 1,000 naskhah bagi setiap judul. Penulis juga akan menerima bayaran royalti secara pendahuluan.
Mohamad Saleeh berkata, projek berkenaan bukan sekadar program penerbitan buku, sebaliknya merupakan usaha memperkukuh budaya ilmu, memperkasa bahasa Melayu dan melahirkan lebih banyak karya tempatan berkualiti yang mampu membina pemikiran masyarakat serta memperkaya peradaban negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa manuskrip yang berjaya dipilih akan melalui proses penilaian oleh pakar, editorial, reka bentuk dan penerbitan secara sistematik dalam tempoh enam bulan daripada tarikh penerimaan manuskrip lengkap.
Penghantaran manuskrip dibuka mulai hari ini sehingga 31 Disember 2026 menerusi platform digital yang dibangunkan khas bagi memperkemas proses penerimaan manuskrip, semakan editorial dan pengurusan penerbitan.
Antara syarat utama yang ditetapkan ialah karya mestilah ditulis dalam bahasa Melayu, merupakan karya asli penulis, ditaip mengikut format standard penerbitan serta mematuhi standard Tatabahasa Dewan dan Gaya Dewan Edisi Keempat.
Bagi manuskrip novel, penulis perlu menyertakan sinopsis, manakala kumpulan cerpen, puisi, drama atau esei perlu disertakan prakata.
PENA berharap lebih ramai penulis, sasterawan, ahli akademik, mahasiswa dan pengkarya tempatan mengambil peluang menghantar manuskrip berkualiti tinggi bagi memperkukuh pembangunan persuratan, budaya ilmu dan ekosistem penerbitan negara menerusi Projek Penerbitan Buku PENA–Malaysia MADANI Fasa 3.
Maklumat lanjut serta penghantaran manuskrip boleh dilakukan melalui bukupena.com.my













