Penerbit teater prolifik persoal bentuk penerbitan karya baharu Sasterawan Negara

Umaralmalqan2

KUALA LUMPUR — Suasana di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 kecoh apabila Siti Rohayah Atan, atau lebih dikenali sebagai Kak Roy yang juga penerbit teater prolifik, meluahkan rasa berang terhadap kualiti fizikal buku terbaharu Sasterawan Negara SN, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Buku bertajuk Umar al-Malqan: Sebuah Drama Pentas yang dijual di reruai MAPIM, Aras 2, Dewan Tun Dr. Ismail, WTC KL, menjadi tumpuan kemarahan selepas dikesan hanya menggunakan jilidan spiral (spiral binding), sekali gus dilihat merendahkan martabat seorang tokoh sastera negara.

“Penerbit universiti bukan penerbit cokia!”

Siti Rohayah yang terkejut melihat naskhah tersebut menyifatkan tindakan menerbitkan karya Sasterawan Negara dalam bentuk sedemikian sebagai satu bentuk penghinaan.

Menurut beliau, karya tokoh besar yang juga seorang cendekiawan, doktor, dan bergelar Datuk sepatutnya diberi tempat yang tinggi.

“Takkan buku yang ditulis oleh Sasterawan Negara dicetak dalam keadaan macam tu, dibinding dalam keadaan macam tu? Bagi akak, itu satu penghinaan yang sangat besar,” tegasnya dengan nada kecewa, ketika dihubungi Titik Baca, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti penerbit universiti (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia) yang sepatutnya lebih menghargai kualiti, bukannya bertindak seperti “penerbit cokia”, katanya.

Penerbitan oleh Penerbit UPNM itu turut menjadi simbol penghargaan terhadap tokoh sastera negara tersebut susulan pelantikannya sebagai Profesor Adjung universiti berkenaan.

Harga RM40 tapi kualiti macam tugasan sekolah?

Buku drama pentas yang diinspirasikan daripada penulis Rusia, Nikolai V. Gogol itu dijual pada harga RM40, namun kualitinya didakwa menyamai buku nota biasa.

Siti Rohayah menegaskan bahawa dengan kos percetakan masa kini, harga RM40 sudah cukup untuk menghasilkan buku berkulit keras yang jauh lebih berkualiti.

“You jual RM40 kualiti macam tu… nampak macam buku nota aje kan?” katanya sambil membandingkan karya tersebut dengan naskhah klasik seperti Salina oleh Pak Samad Said yang sentiasa mengekalkan kualiti rekaan dan jilidan yang cantik.

Kakroy
Kak Roy.
Kredit foto: Saadiah Ali.

Sasterawan Negara bukan bahan eksperimen

Menepis dakwaan kononnya jilidan spiral itu adalah satu bentuk “kelainan” atau eksperimen seni, Siti Rohayah menegaskan bahawa martabat Sasterawan Negara tidak boleh diperjudikan.

“Kelainan apa jadahnya? Sasterawan Negara bukan bahan untuk dieksperimenkan. Dia dah hidup sebelum kita hidup, dah dapat segala macam anugerah… kau nak eksperimen, kau pergi cari budak-budak yang baru nak buat buku,” tegas beliau lagi.

Sehingga berita ini disiarkan, buku tersebut masih dijual di rak Penerbit UPNM di reruai MAPIM.

Bagi peminat yang ingin melihat sendiri kualiti buku yang menjadi perdebatan hangat ini, anda boleh mengunjungi Aras 2, Dewan Tun Dr. Ismail, WTC KL.

Umar Al-Malqan: Sebuah Drama Pentas merupakan karya terbaharu Anwar Ridhwan yang diperkenalkan kepada khalayak sempena PBAKL 2026.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *