SM Zakir wakil Malaysia di Pesta Buku Antarabangsa Beijing 2026

Smzakirbeijing

KUALA LUMPUR — Penulis prolifik tanah air dan penerima SEA Write Award, Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir) mengharumkan nama Malaysia apabila dipilih sebagai penulis fokus negara dalam Beijing International Book Fair (BIBF) 2026 yang sedang berlangsung di Beijing, China hingga 21 Jun ini.

Pemilihan tersebut mencerminkan pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian beliau dalam dunia sastera Malaysia, selain membuka ruang untuk karya serta pemikiran penulis tempatan diketengahkan kepada khalayak antarabangsa.

Menurut Pengerusi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, Mohd Khair Ngadiron, penyertaan SM Zakir dalam acara berprestij itu bermula hasil komunikasi dan kerjasama erat antara penggiat industri buku Malaysia dan China.

Beliau mendedahkan bahawa pada April lalu, pihak China National Publications Import and Export Corporation (CNPIEC) telah menyatakan hasrat untuk menjemput SM Zakir ke BIBF bagi menyertai program penulis antarabangsa, malah turut bersedia menanggung kos penerbangannya ke Beijing.

“Begitulah permulaannya. Komunikasi saya dengan Yuen Fatt, individu yang banyak membantu hubungan perbukuan Malaysia dan China. Esok, sahabat kita Syed Mohd Zakir akan mewakili suara Malaysia di Beijing International Book Fair,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kota Buku, Adibah Omar, menyifatkan pemilihan SM Zakir yang juga Pengarah Urusan Nusa Centre itu sebagai satu kebanggaan besar buat negara.

Menurut beliau, BIBF merupakan antara pesta buku terbesar dunia yang menghimpunkan penyertaan lebih 80 negara setiap tahun, sekali gus menjadi platform penting bagi memperkenalkan karya dan industri buku Malaysia ke peringkat global.

“Tahniah kepada Tuan Syed Mohd Zakir kerana terpilih sebagai penulis fokus dari Malaysia. Kami semua sangat berbangga melihat profil beliau berdiri sama tinggi dengan penulis-penulis dari serata dunia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada edisi kali ini, Malaysia turut diwakili oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kota Buku, PTS Media Group Berhad, Knowledgebank Asia, Pelangi Novel dan Odonata Publishing yang akan menjalankan pelbagai misi kerjasama serta urusan hak cipta sepanjang pesta buku tersebut berlangsung.

Penyertaan SM Zakir dalam BIBF 2026 dilihat sebagai satu pencapaian penting buat dunia kesusasteraan negara, sekali gus memperkukuhkan kehadiran penulis Malaysia dalam jaringan penerbitan dan perbukuan antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *