Ulat buku: Menelan segala atau memilih rasa?

Pbalkl2026dbpmedia

Foto sekadar hiasan. Kredit foto: Media PBAKL.

Amalan membaca buku sememangnya merupakan satu aktiviti yang membawa pelbagai manfaat untuk kehidupan manusia. Bahkan, amalan murni ini dititikberatkan dalam ajaran agama Islam.

Wahyu pertama Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW menerusi Surah al-Alaq Ayat 1–5 jelas membuktikan amalan membaca sememangnya berkait rapat dalam pembangunan insan dan tamadun.

Dengan amalan membaca, seseorang dapat menambah ilmu pengetahuan dan membentuk pemikirannya menjadi lebih matang.

Persoalannya, adakah semua bahan bacaan terutamanya karya kreatif, benar-benar layak menjadi “menu” untuk dinikmati oleh para ulat buku?

Berdasarkan pemerhatian di PBAKL2026 lepas, ada sebilangan menu yang laris terjual adalah karya-karya popular. Menu ini menerima sambutan yang luar biasa sehingga segelintir ulat buku sanggup untuk berbaris panjang.

Lebih menakjubkan, menu ini dijual dengan harga yang lumayan sehingga ada yang lebih mahal daripada harga karya-karya ilmuan tempatan bahkan antarabangsa.

Namun, perkara tersebut tidak sesekali melunturkan keinginan para peminat untuk terus memburu demi memilikinya di rak masing-masing.

Penulis kontemporari yang berbakat dan popular di luar sana sepatutnya memanfaatkan bakat yang dikurniakan dengan penulisan yang berhikmah. Sebagai hamba Allah SWT, kita semua memikul tanggungjawab sebagai khalifah untuk menyebarkan kebaikan kepada masyarakat.

Para ulat buku sepatutnya lebih cakna dengan menu yang dipilih kerana membaca mampu membentuk cara seseorang berfikir.

Bak kata S.M. Zakir, “kita adalah apa yang kita baca.” Amalan membaca sememangnya bermanfaat untuk manusia apabila memilih bahan bacaan yang baik. Bagi memastikan sesuatu bangsa menerima bahan bacaan yang baik, para penulis perlu menghasilkan penulisan yang berfaedah dan memberi ibrah kepada masyarakat.

Penulis Muslim sepatutnya menjadikan agama sebagai panduan dalam merangka dan membina tema atau watak perwatakan. Contohnya, Surah an-Nisa yang sarat menjelaskan mengenai wanita sudah cukup untuk dijadikan panduan dalam pembinaan watak wanita.

Industri buku di negara ini sebenarnya masih mempunyai penerbit yang melahirkan karya-karya yang berkualiti seperti Nusa Centre.

Pada PBAKL 2026, Nusa Centre menerbitkan 11 buah buku baharu yang terdiri daripada puisi, cerpen, hikayat dan novel. Setiap karya dihasilkan oleh para pengarang yang bijak memanfaatkan bakat semula jadi dengan idea yang bermanfaat.

Contohnya, penerima Anugerah Pejuang Sastera dalam Hadiah Sastera Darul Ridzuan 2024, Salina Ibrahim menghasilkan kumpulan cerpen Perempuan Tak Takut Mati.

Kumpulan cerpen ini menonjolkan tema wanita sebagai teras utama dalam penceritaan. Cerpen-cerpen tersebut bukan sahaja memberi kepuasan kepada diri tetapi mampu menjadi sumber inspirasi kepada para wanita di luar sana.

Karya seperti ini yang selayaknya diangkat, diburu dan dinikmati oleh para ulat buku di luar sana.

Banyak manfaat akan diterima apabila sesuatu bangsa menjadi ulat buku yang menghargai karya-karya yang berintelektual dan berkualiti kerana membaca bukan sekadar mengisi masa lapang tetapi mampu mengubah nasib kehidupan seseorang menjadi lebih baik.

Keperibadian yang baik bermula daripada acuan yang baik. Perkara ini sepatutnya menjadi peluang untuk para penulis menyebarkan kebaikan seiring Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2:

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran… .”

Penulisan bukan sekadar meninggalkan nama di sampul buku. Ia juga bukan sekadar untuk mengejar populariti dalam kehidupan. Akan tetapi, penulisan juga akan dihisab oleh Allah Azzawajala di akhirat kelak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *