Penyertaan IPC 2026 ditutup, KL sedia sambut penerbit dunia

Ipc2026closed

KUALA LUMPUR — Pendaftaran bagi International Publishers Congress (IPC) ke-35 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 5 hingga 9 Julai 2026 kini rasmi ditutup selepas menerima sambutan menggalakkan daripada komuniti penerbitan antarabangsa.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, sekretariat penganjur memaklumkan bahawa kongres dwitahunan itu berjaya menarik penyertaan penerbit, penulis, profesional hak cipta dan pemain industri buku dari seluruh dunia.

“Kami amat berbesar hati dengan sambutan luar biasa daripada penerbit, penulis, profesional hak cipta dan rakan-rakan industri penerbitan dari seluruh dunia. Pendaftaran bagi International Publishers Congress 2026 kini secara rasminya ditutup.

“Kepada semua yang telah mendaftar, terima kasih kerana memberikan kepercayaan kepada kami dan menjadi sebahagian daripada perhimpunan bersejarah ini di Kuala Lumpur,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut sekretariat, semua peserta yang telah berdaftar akan menerima Pek Maklumat IPC 2026 melalui e-mel dalam beberapa hari lagi.

Pek tersebut mengandungi pelbagai maklumat penting bagi membantu peserta membuat persediaan sebelum menghadiri kongres, termasuk maklumat logistik, perkembangan program, panduan budaya tempatan serta cadangan lokasi menarik di Malaysia.

Penganjur turut menyatakan hasrat untuk memberikan pengalaman terbaik kepada para delegasi sepanjang berada di negara ini.

“Di Malaysia, kami percaya tetamu datang sebagai pelawat dan pulang sebagai sahabat. Menjadi satu penghormatan buat kami untuk menyambut anda dengan kemesraan, kemurahan hati dan layanan yang menjadi identiti rakyat Malaysia.

“Kami tidak sabar untuk menjadi tuan rumah di Kuala Lumpur, berkongsi kisah-kisah kami, meraikan dunia penerbitan bersama serta membina persahabatan dan kerjasama yang berkekalan.”

International Publishers Congress merupakan kongres berprestij anjuran International Publishers Association (IPA) yang diadakan setiap dua tahun dengan kerjasama ahli IPA di negara tuan rumah.

Sejak penganjuran sulungnya di Paris pada tahun 1896, kongres ini menjadi platform utama menghimpunkan penerbit, pemegang hak cipta dan pemimpin industri buku dari seluruh dunia bagi membincangkan cabaran serta peluang dalam dunia penerbitan.

Edisi ke-35 tahun ini mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya kongres tersebut diadakan di Kuala Lumpur, sekali gus meletakkan Malaysia dalam kalendar utama industri penerbitan antarabangsa.

Sebelum ini, kongres berkenaan telah dianjurkan di Guadalajara, Mexico.

Sepanjang lima hari penganjurannya di Grand Hyatt Kuala Lumpur, IPC 2026 dijangka menghimpunkan lebih 60 tokoh penerbitan, pakar industri dan wakil organisasi antarabangsa bagi membincangkan pelbagai isu semasa, termasuk transformasi digital, hak cipta, pembangunan kandungan, kecerdasan buatan, kebebasan menerbitkan serta masa depan industri buku global.

Penganjuran kongres ini juga dilihat sebagai satu pencapaian penting bagi industri buku negara apabila Malaysia berpeluang memperkenalkan ekosistem penerbitannya kepada pemain industri antarabangsa, di samping membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang penerbitan, perdagangan hak cipta dan pembangunan pasaran buku serantau serta global.

Dengan pendaftaran yang kini ditutup, tumpuan kini beralih kepada persiapan akhir menjelang pembukaan rasmi kongres pada 5 Julai nanti, yang dijangka menghimpunkan pembuat keputusan dan peneraju industri penerbitan dunia di ibu negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *